Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Zahid-SUKMA Sarawak Luar Biasa!

By 1 Ogos 2016Tiada komen4 minit bacaan

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Maszuandi Adnan & A. Balakrishnan
KUCHING, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – “Luar biasa Sarawak! SUKMA yang paling gilang-gemilang, paling hebat, persembahan paling menarik, sambutan penonton cukup hebat dan Ketua Menteri yang cukup komited”.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi setelah laungan ‘Ooo-ha!’-nya disambut dengan meriah oleh para penonton yang hadir pada majlis Penutupan Rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam.

Tambahnya, 24 acara di tiga lokasi utama iaitu Kuching, Sibu dan Miri berlangsung dengan lancar oleh sebab Sarawak pernah menjadi tuan rumah 26 tahun lalu.

Penglibatan 8,000 peserta, pegawai dan atlet yang mewakili 15 kontinjen daripada perasmian ke penutupan berjaya mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

image

Laungan Ooo-ha! oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

Pada majlis semalam juga, Zahid mengumumkan juara keseluruhan Selangor yang berjaya menjadi juara keseluruhan buat kali kesembilan dengan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa. Tuan rumah pula berjaya memberikan tentangan sengit dengan 57 emas, 47 perak dan 79 gangsa. Terengganu pula berada di tempat ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 43 gangsa.

Zahid juga mengucapkan tahniah kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod sepanjang SUKMA yang berlangsung sejak 19 Julai lalu.

“Syabas diucapkan kerana enam rekod kebangsaan telah berjaya dipecahkan iaitu dua dalam acara memanah, dua angkat berat dan satu dalam acara akuatik, satu dalam olahraga. Malah, 37 rekod kejohanan telah diperbaharu. Peningkatan hampir 100 peratus berbanding SUKMA 2014.

SUK_5540

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyerahkan Bendera SUKMA kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambri Abd Karim

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Atlet Cemerlang, Khairul Hafiz Jantan daripada Melaka yang memenangi empat emas dengan memecahkan satu rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun dengan 10.18 saat. Nor Aqilah Yusof pula memungut emas dan dua gangsa dengan memecahkan satu rekod kebangsaan dan dua rekod SUKMA,” ujarnya.

Zahid juga mengumumkan Perak akan mengambil alih tugasan sebagai tuan rumah pada 2018 nanti.

“Saya cabar kontinjen Perak, yang kini menduduki tangga ke-12 keseluruhan SUKMA dengan 12 pingat emas. Saya cabar pada SUKMA akan datang Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambri Abd Karim, you better do well,” ujarnya.

“Hasil daripada SUKMA, kita berjaya lahirkan tokoh sukan seperti jaguh pecut negara Watson Nyambek, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizul Hasni Awang dan ramai lagi.

SUK_5439

Ketua Kontinjen Selangor, Datuk Yasin Salleh menerima Piala Juara Keseluruhan SUKMA XVIII

“Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga perlu memastikan hasil yang kita dapat di SUKMA bukan sekadar jaguh kampung. Kita gilapkan agar mereka wajib berada di peringkat antarabangsa supaya dapat membanggakan Malaysia di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Kontinjen Selangor, Datuk Yasin Salleh, yang ditemui pagi ini di Hotel Riverside Majestic, kemenangan Selangor kali ini merupakan hasil kerjasama semua pihak.

“Syukur kerana berjaya mengatasi sasaran kita iaitu 48 emas sebelum ini seterusnya menjadi juara bagi SUKMA XVIII.

“Sebenarnya ini semua atas usaha semua mereka yang terlibat daripada jurulatih, atlet, pengurus pasukan, pegawai Majlis Sukan Selangor dan banyak pihak lagi. Sukan sebenarnya memerlukan semangat dan juga kerjasama setiap orang.

“Menerusi latihan yang dijalankan juga melibatkan banyak pihak. Ya, tidak dinafikan atlet itu yang cemerlang tetapi kecemerlangan mereka memerlukan kerjasama daripada semua,” katanya.

Menyentuh berkenaan insentif, memang setiap atlet ada diberikan insentif cuma jumlahnya bakal diketahui hari ini.

“Dah ada insentif hanya jumlah akan diberitahu oleh Menteri Besar pada hari ini. Selepas ini, atlet akan berehat sebentar dan meneruskan aktiviti sukan masing-masing. Seterusnya kami juga kena menyediakan pula atlet untuk SUKMA di Perak pada 2018,” katanya.

Yasin turut mengiakan kenyataan Zahid bahawa Sarawak berjaya menganjurkan SUKMA yang gilang-gemilang.

Warna-warni Majlis Penutupan SUKMA XVIII

Warna-warni Majlis Penutupan SUKMA XVIII

“Saya nampak Sarawak mempunyai kemudahan dan sumber pada majlis pembukaan dan penutup yang gilang-gemilang. Pada saya, penganjuran SUKMA pada kali ini memang terbaik berbanding SUKMA terdahulu. Saya percaya suatu penutupan yang sangat meriah.

“Saya lihat penganjuran ini memerlukan satu jumlah perbelanjaan yang lumayan. Saya fikir kerajaan Sarawak mampu untuk menganjurkan sebegitu.

“Saya rasa ini pada satu tahap yang tinggi sukar untuk negeri lain untuk menyamainya, cacat celanya terlalu sedikit. Pada saya penganjuran kali ini sungguh cemerlang,” ujarnya lagi.

Setelah tamat SUKMA, Sarawak akan meneruskan tugasnya sebagai tuan rumah Sukan Paralimpiad yang mempertandingkan sembilan acara di Kuching dan Samarahan bermula 6 hingga 10 Ogos ini.

-DZ

Tinggalkan komen anda