Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

50 Pelajar Dapat Tajaan Penuh Program ‘Aircraft Ground Handling’

By 26 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto: Ihsan KAYM

MELAKA, 26 Sept (Malaysiaaktif) – Mendapat tajaan penuh dan kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan merupakan rezeki bagi Ahmad Fahmi Azman, 23, yang terpilih menjadi antara 50 orang yang bertuah ketika pengambilan pertama kumpulan bagi pelatih Pegawai Trafik Lapangan dan Pengendali.

Ahmad Fahmi yang telah memulakan latihan selama lima bulan bermula 14 September lepas di International College of Aeronautic (LICA), Langkawi bersyukur kerana mampu mengikuti pembelajaran dan berpeluang bekerja di syarikat penerbangan di seluruh Malaysia selepas tamat latihan.

“Sebelum ini saya bekerja di sebuah kilang swasta dan juga sebagai ejen insurans separuh masa. Ketika menerima tawaran untuk mengikuti latihan ini, saya sangat gembira, lebih-lebih lagi saya menerima tajaan penuh daripada peneraju,” katanya yang berasal dari Bukit Rambai, di sini.

2

Bagi merebut peluang mendapat penajaan penuh dan jaminan pekerjaan dalam industri, pemohon perlulah mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk lulus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Menurut Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Datuk Saroni Judi, industri penerbangan dikawal oleh pelbagai peraturan, perundangan dan garis panduan ketat sebahagiannya diselaraskan dengan keperluan piawaian industri penerbangan antarabangsa.

Tambahnya, tenaga kerja membabitkan industri penerbangan bukan sahaja terletak pada kepakaran juruterbang tetapi juga pada peranan yang dijalankan oleh semua pihak bagi memastikan kelancaran sesebuah pesawat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ini termasuk tugas sebagai pengawal trafik udara dan lapangan serta pengendalian ramp yang memainkan peranan besar bagi melancarkan sebuah penerbangan ke destinasi yang dituju dengan selamat.

3

“Kerjasama yang diperlukan daripada juruterbang, jurutera kapal terbang, mekanik mahupun pengawal trafik udara serta pengendalian ramp perlu dilatih dan mendapat kelulusan, sijil serta lesen khusus, yang juga diiktiraf secara global,” jelasnya.

Kata Saroni, kerjaya sebagai Pegawai Trafik Lapangan dan pengendali ramp diakui mengalami perkembangan pesat walaupun krisis ekonomi termasuk penerbangan melanda dunia pada masa kini.

“Majoriti syarikat penerbangan terbesar di dunia terutama syarikat tambang murah menyediakan rangkaian seterusnya meningkatkan angka penumpang dan mengukuhkan lagi prospek kerjaya ini.

“Jadi saya kira, anak-anak muda perlu mengambil peluang kerjaya di lapangan terbang ini melalui Program Kemahiran Iltizam ‘Ground Handling’ tajaan penuh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju),” katanya.

 

-DZ

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda