Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Galeri Abdul Jabbar Pamer Warisan Keluarga

By 26 September 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Khairunnisa Abd Rahman

JASIN, 26 Sept (Malaysiaaktif) – Keinginan yang tinggi dan usaha yang tidak pernah jemu dalam mengumpulkan sejarah keluarga dan artifak milik keturunan Abdul Jabbar Isa yang merupakan salah seorang yang membuka penempatan awal di Sungai Rambai membuahkan hasil membanggakan buat empunya Galeri Abdul Jabbar, Rusnan Arshad.

Terletak di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai, Galeri Abdul Jabbar ini berkonsepkan kediaman dalam galeri dan dibina di bahagian hadapan ruang rumah Rusnan, yang mesra dikenali sebagai Haji Rusnan, dan keluarganya. Menurutnya, rumah itu dibina pada tahun 1949 dan telah diubah suai pada tahun 1980.

14

Usaha Haji Rusnan ini bermula selepas dia bersara pada 21 Disember 2005. Dia  kemudiannya menghasilkan buku Salasilah dan Sejarah Keturunan Abdul Jabbar yang diterbitkan pada 13 Oktober 2007 yang kebetulannya juga jatuh pada Hari Raya Aidil Fitri menjadikan penerbitan buku itu lebih menggembirakan.

“Rumah saya ni merupakan rumah pusaka. Bahagian hadapan rumah saya ini dijadikan galeri keturunan Abdul Jabbar pada tahun 2011 oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Saya merupakan generasi keenam daripada keturunan Abdul Jabbar dan merupakan cicit kepada Yahya Abdul Jabbar yang merupakan keturunan generasi pertama,” ujarnya.

1

3

Tambah Haji Rusnan, dia inginkan keturunan Abdul Jabbar, yang kini mencecah lapan generasi, untuk mengetahui asal usul mereka. Katanya, jika tidak dikumpul dan direkodkan, semuanya akan hilang ditelan zaman. Maka, dia berhasrat untuk melestarikannya dalam bentuk buku.

“Sebenarnya, saya telah mengadakan perjumpaan keluarga sebelum menubuhkan galeri pada 9 Disember 2008 dan seluruh keluarga sepakat bersetuju dengan niat saya. Pada asalnya, hasrat saya sekadar membuat buku salasilah keluarga dan sejarah tapi disyorkan untuk menubuhkan galeri,” jelasnya kepada Malaysiaaktif.

2

4

Selain salasilah keturunan, barangan peribadi milik keluarganya seperti mesin jahit antik, tumbuk lada, congkak antik, pinggan mangkuk antik, tempayan, belanga, gong, batu giling, batu pengisar tepung, lesung kayu dan antan merupakan antara barangan yang dipamerkan dalam galeri.

Keistimewaan galeri ini juga terletak pada peta Sungai Rambai yang dihasilkan dengan tulisan tangan bapa Haji Rusnan sendiri. Selain peta, Galeri Abdul Jabbar juga mempamerkan bahan-bahan sejarah Sungai Rambai seperti gambar-gambar dan artifak untuk membuktikan kewujudan Sungai Rambai yang terletak di Daerah Jasin.

13

Peta Sungai Rambai yang merupakan hasil tangan bapa Haji Rusnan.

 

Haji Rusnan yang kini merupakan Pengerusi Persatuan Pakatan Penduduk Kampung Parit Sidang Seman berkata, kesemua barang yang dipamerkan dalam galeri adalah milik keluarga yang dikumpulkan dengan keizinan mereka sendiri manakala kos ubah suai dinding dan lampu disediakan oleh PERZIM.

Bekas Ketua Pembantu Tadbir Unit Kewangan di Jabatan Ketua Menteri Melaka itu turut berkongsi pengalaman rumahnya yang dinaiki air pada tahun 2006 dan meninggalkan kesan sehingga hari ini. Sehubungan itu, PERZIM telah membuat pengubahsuaian dengan meninggikan sedikit dinding di ruang galeri.

9

11

“Saya benar-benar berharap agar usaha saya mengumpulkan sejarah keluarga dan barang-barang antik milik keluarga untuk tatapan anak cucu cicit kelak membuahkan hasil,” ujar Haji Rusnan.

Haji Rusnan turut mempelawa orang ramai, pelajar-pelajar sekolah dan penuntut-penuntut universiti datang melawat ke galerinya untuk dijadikan sumber kajian sejarah dan tesis.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda