Oleh Municca Kiat (Sabah)
TENOM, 29 Sept (Malaysiaktif) – Pertubuhan Mamagun Sabah meluahkan rasa kecewa terhadap fakta yang tidak tepat berkenaan adat suku kaum tersebut yang tercatat pada Buku Teks Sejarah Tingkatan 1, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2007.
Buku Teks yang merupakan bahan penting mengandungi asas pembelajaran sesuatu mata pelajaran yang isi kandungannya disusun oleh pakar dalam bidang tertentu untuk pembelajaran di seluruh sekolah.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Mamagun Sabah, Rudy Sulaiman Mairi, fakta yang tertera pada buku teks tersebut hanyalah suatu andaian penulis tanpa merujuk dengan suku kaum terbabit untuk memastikan fakta sebenar.
“Penulisan fakta sejarah yang tidak betul boleh memesongkan pemahaman generasi akan datang yang membaca buku tersebut terutama generasi suku kaum Murut,” katanya lagi.
Rudy menunjukkan lembaran cetakan dari halaman buku teks sejarah tingkatan 1 yang dikatakan salah fakta.
“Saya berharap Jabatan Pendidikan Daerah atau Negeri perlu lebih bertanggungjawab dan memperbetul semula fakta yang tercatat di Buku Teks terbabit,” jelas Rudy ketika dihubungi Malaysiaaktif petang semalam.
Fakta yang tertulis pada Buku Teks Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan satu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2007, mengatakan “ Adat Kematian- Apabila berlaku sesuatu kematian pada kaum Murut, saudara-saudaranya akan memukul tiang rumah, mayat dibersihkan dan dipakaikan pakaian sebelum dikebumikan dalam posisi duduk. Mayat dibakar dalam tembikar (Tajau Bangkalan ) dan disimpan dalam rumah selama tujuh hari.”
Sementara itu, Ketua Daerah Tenom, David Jani berkata penulisan fakta sejarah yang salah seharusnya tidak berlaku apatah lagi melibatkan suatu kaum peribumi yang menduduki negeri ini.
Jelasnya, terdapat 10 Suku Kaum Murut (Tahol, Timugon,Nabai,Paluan,Serudung,Kolor,Tenggala, Tidung, Lumbis dan Bookan ) di seluruh Sabah tidak ada satu pun yang menyatakan Adat sedemikian.
Menurutnya lagi, suku kaum Murut pada waktu dahulu memang menyimpan mayat di dalam tajau yang dinamakan “Bangkalan” dalam keadaan posisi duduk tapi mayat berkenaan tidak dibakar dalam tembikar dan perlakuan memukul tiang rumah juga tidak pernah berlaku.
“Pohon pihak penerbitan dapat mengkaji semula penerbitan buku tersebut kerana melibatkan maruah suku kaum Murut di Sabah,” ujarnya.
Pegawai Aduan dan Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan, Pejabat Pendidikan Nabawan yang juga merupakan anak watan Suku Kaum Murut, Ampalus Robert Sanaron, berkata, cetakan fakta tersebut tidak benar dan seharusnya tidak diterbitkan kerana fakta tersebut merosakkan sejarah suku kaum Murut.
Bagi Ketua Belia, Persatuan Murut Sabah, Raymond Ahuar, 31, turut bertindak melakukan aduan di Balai Polis Nabawan pada 3.22 petang semalam untuk menuntut perkara ini diambil tindakan sewajarnya.