Laporan oleh : Muhammad Rizal Redzuan & Dila Khamde / Foto oleh : Abdul Hafiz Itam (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 28 Sept (Malaysiaaktif) – “Kerajaan fokus dalam membangunkan prasarana telekomunikasi negara agar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kedudukan lokasi atau taraf sosioekonomi”.
Demikian menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Jailani Johari ketika melancarkan Telco Mini Center Mobile (TMC Mobile) di Anjung Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Putrajaya, di sini hari ini.
Tambah beliau, “Industri telekomunikasi kawasan luar bandar juga dilihat sama pentingnya dengan kawasan bandar”.
TMC Mobile merupakan sebuah perkhidmatan telekomunikasi bersepadu secara mobile bagi memberikan kemudahan masyarakat setempat di luar bandar untuk membolehkan mereka menikmati perkhidmatan yang disediakan.
Dengan menggunakan pendekatan empat modul utama perniagaan iaitu Pembayaran, Pembelian, Pendaftaran dan Perkhidmatan, kini TMC Mobile mempunyai lima buah cawangan di Putrajaya, Kajang, Terengganu, Johor dan Sabah selain mempunyai lebih 5 ribu wakil pemasaran di seluruh Malaysia.
Jailani berkata, “Penjadualan penting dan harus diberi perhatian bagi memaklumkan kepada masyarakat serta memudahkan mereka mengesan kehadiran TMC Mobile”.
Seorang pengunjung, Haji Mohd Noor Bin Haji Hadi, 61, dari Pasir Gudang Johor berkata, “Kebanyakkan penduduk di Pasir Gudang adalah pekerja industri dan masa mereka amat terhad,
“Dengan adanya TMC Mobile yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di kawasan kilang serta rumah mereka, segala urusan berkaitan Telco, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya dapat diselesaikan di sini,
“Mereka tidak perlu tergesa-gesa ke pejabat pos, Tenaga Nasional Berdad (TNB) dan sebagainya untuk berurusan berkaitan bil atau lain-lain seperti menukar sim kad rosak atau hilang. Malah urusan dengan EON Bank juga boleh dilakukan di TMC,
“Terdapat sekitar 30 agen TMC di sekitar Johor Bahru yang akan memberikan perkhidmatan terus ke tempat pelanggan”, ujarnya.
Manakala Sabran Zabur bin Abd Hamid dari Balung Tawau Sabah, 37, berkata, “Sebelum ini dengan infrastruktur jalan yang kurang baik serta jauh, masyarakat di kampung saya terpaksa menaiki motorsikal atau van ke bandar jika ingin berurusan berkaitan bil utiliti atau mana-mana syarikat telco,
“Lebih malang lagi, sesampainya di bandar, dimaklumkan tiada talian atau offline. Dengan adanya TMC, masyarakat kampung saya tidak perlu lagi ke bandar untuk bil utiliti malah TMC datang ke depan rumah mereka,
“Di Tawau, setiap Parlimen mempunyai agen-agen TMC yang akan datang kepada pelanggan yang inginkan perkhidmatan mereka”, tambahnya.
TMC Mobile turut membuka peluang perniagaan telekomunikasi kepada usahawan-usahawan muda untuk terus berdaya saing dalam dunia perniagaan kerana perniagaan telekomunikasi ini mampu memberikan unjuran pendapatan.
Menurut Jailani, “Perkhidmatan telekomunikasi sebegini patut diketengahkan bagi memberi peluang dan ruang kepada orang ramai untuk terus aktif menceburkan diri dalam dunia perniagaan telekomunikasi yang sebenarnya amat luas”.
Beliau berharap dengan adanya kemudahan ini masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk keluaran mereka termasuklah latihan,bimbingan dan pemasaran, akan membolehkan produk penduduk luar bandar dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya menembusi pasaran antarabangsa.
Maklumut lanjut boleh dilayari di //www.tmcmobile.tmc.my