Oleh Fasharina Kholil / Foto: Nor Adzahar Mohd Yunus & Mohd Shahdu Azree Mohamed Yunus
GERIK, 9 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 54 orang menerima watikah pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid Daerah Hulu Perak awal pagi semalam di Dewan Persidangan, di sini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dalam ucapannya berkata, institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat perkembangan ilmu dan pembangunan Islam, di mana segala-galanya bermula dan berkembang daripada masjid.
“Masjid juga harus dipelihara agar tidak berlaku kecelaruan ilmu yang menjurus kepada ilmu sesat kerana masjid seharusnya menjadi tempat percambahan ilmu serta pengukuhan iman dan takwa.
“AJK (Ahli Jawatankuasa) dan Kariah Masjid perlu mengurus tadbir masjid dengan amanah dan bertanggungjawab serta memaksimumkan penggunaan wang masjid bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Yusop turut menjelaskan pelancaran kempen bagi menggalakkan solat Subuh di masjid bakal diadakan tidak lama lagi.
Majlis penyampaian watikah disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Toh Muda Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Syahbandar Muda, Meor Roslan Datuk Seri Meor Ahmad Rashidi.
Meor Roslan mengharapkan agar seluruh kariah dan AJK masjid mengambil inisiatif bagi mengimarahkan masjid di kawasan masing-masing.
“AJK masjid perlu memainkan peranan dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai datang ke masjid bermula dengan jemaah solat Subuh.
“Hal ini selaras dengan Pelancaran Panduan Al Fateh iaitu kempen bagi menggalakkan orang ramai menunaikan solat Subuh di masjid,” jelasnya.
Tambahnya, AJK dan Kariah masjid perlu menunjukkan iltizam untuk memastikan pengurusan masjid berfungsi sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah.
“Ini kerana pembangunan dan kecemerlangan ummah bermula dari sejauh mana berkesannya penggerak dalam melaksanakan pengurusan masjid,” kata Meor Roslan.