Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

MOU Laksana Aktiviti Kesedaran Alam Sekitar

By 29 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) secara rasminya telah melebarkan jaringan kerjasama dengan kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar.

Sepuluh buah organisasi bersetuju untuk menandatangani Nota Kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) Dua Hala dalam majlis yang diadakan di pejabat JAS, Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, Datuk Ar. Ismail Othman, diharapkan dengan adanya MoU ini akan membolehkan JAS mendapat komitmen dan sokongan secara langsung dalam pelbagai bentuk seperti sumber dana, bantuan logistik, promosi, dan publisiti dalam menjayakan program-program kesedaran alam sekitar pada masa hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, Datuk Ar. Ismail Othman

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Shafe’ee Yasin berkata MoU ini berfungsi sebagai suatu penyataan persefahaman dan hasrat untuk bekerjasama antara satu sama lain dan tidak terikat kepada apa-apa tanggungan atau liabiliti secara perundangan.

“Saya turut berharap agar pelaksanaan pendekatan seperti ini dapat menambah kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan serta mencapai situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Shafe’ee Yasin

Shafe’ee turut mengumumkan Majlis Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Melaka akan disambut pada 22 Oktober ini di Taman Perbandaran Serindit yang bakal dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

“Majlis ini akan diadakan serentak dengan HASN Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dirancang dalam sambutan HASN itu nanti seperti Pelepasan Kayuhan Hijau, Ujian Pelepasan Gas dan Kenderaan Berenjin Petrol, Kuiz Alam Sekitar dan Cabutan Nombor Bertuah.

-DZ

Tinggalkan komen anda