Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau PinangViral

Penjahit Pakaian Jalur Gemilang Semangat Rai Hari Kebangsaan

By 1 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Norhayani Hashim (Kepala Batas)

KEPALA BATAS, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, Zawayah Jiwa, 48, pasti sibuk membuat persiapan.

Zawayah yang bekerja sebagai Pembantu Penyedia Makanan di Pusat Latihan KEMAS Kepala Batas sibuk menjahit baju Jalur Gemilang untuk tiga anak serta suaminya apabila tiba bulan kemerdekaan.

Meskipun tidak pernah belajar menjahit secara khusus, namun baju Jalur Gemilang yang dijahitnya tetap kelihatan kemas dan cantik. Setiap baju Jalur Gemilang yang dihasilkan Zawayah direka sendiri olehnya.

WhatsApp Image 2016-08-31 at 9.56.03 PM

Setiap tahun Zawayah hias rumah untuk Hari Kebangsaan.

 

Menurut Zawayah, selain menjahit pakaian Jalur Gemilang untuk anak-anak serta suaminya, dia turut menjahit pakaian yang diperbuat daripada bendera Malaysia untuk anak-anak saudara dan jirannya.

Selain menjahit pakaian menggunakan bendera Malaysia, Zawayah dan suaminya sering mengecat mural di dinding luar rumah mereka mengikut tema Hari Kebangsaan setiap tahun.

WhatsApp Image 2016-08-31 at 9.56.07 PM

Tambah Zawayah, mereka sekeluarga sangat gembira membuat persiapan setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan Malaysia.

“Seluruh ahli keluarga akan bertungkus lumus menghias rumah dengan bendera Malaysia.  Saya dan suami keluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghias rumah sempena menyambut kemerdekaan setiap tahun. Hiasan sempena merdeka ini tak akan dibuka sehinggalah semua jadi lusuh dan barulah diganti baru,” kata Zawayah kepada Malaysiaaktif.

Dalam pada itu, Zawayah turut membuat hiasan yang diperbuat daripada kad telefon serta wang syiling 1sen yang berbentuk angsa dua ekor. Menurutnya, menyimpan barang-barang lama itu diibaratkan sebagai menghargai nilai sesuatu perkara pada satu ketika dahulu.

Zawayah yang berasal dari Gurun, Kedah menetap di Kampung Permatang Manggis sejak 15 tahun lalu setelah berkahwin.

 

– AH/AAS

Tinggalkan komen anda