
Laporan/foto: Zatul-Iffah Wahab/Mahrani Mohamad (Kulim)
KULIM, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Masyarakat Cina di Kampung Baru Lunas terus memperkukuh budaya hidup harmoni dengan mengutamakan semangat perpaduan, saling menghormati serta mengambil berat terhadap jiran dan rakan tanpa mengira kaum dan agama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Batu 6 Lunas Khoor Siew Im berkata keharmonian yang dinikmati penduduk pada hari ini merupakan hasil daripada sikap saling menghormati, bekerjasama dan bertolak ansur yang sentiasa menjadi amalan dalam kalangan komuniti setempat.
Menurut beliau, pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan di Kampung Baru Lunas sentiasa mendapat penyertaan daripada masyarakat pelbagai kaum.

Budaya kunjung-mengunjung antara jiran masih diamalkan.
“Program tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi platform untuk memupuk persefahaman, memperkukuh semangat muhibah serta menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan penduduk,” katanya, di sini kelmarin.
Beliau berkata penglibatan semua lapisan masyarakat dalam setiap aktiviti komuniti turut membuktikan komitmen penduduk dalam mengekalkan keharmonian serta memperkukuh perpaduan yang menjadi asas kepada kesejahteraan kampung.
“Saya berharap budaya saling menghormati, mengambil berat antara satu sama lain dan semangat perpaduan ini akan terus dikekalkan demi mewujudkan sebuah masyarakat yang aman, bersatu padu dan sejahtera,” katanya.
Usaha berterusan memupuk perpaduan menerusi penglibatan aktif masyarakat dalam program kemasyarakatan diyakini mampu mengekalkan keharmonian yang dinikmati, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih inklusif, bersatu padu dan sejahtera.
-RI




