Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Saudara dan saudari sekalian,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd,
1. Alhamdulillah, kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia. Setinggi kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan Hari Raya Aidil Adha yang merupakan di antara hari-hari paling istimewa di sisi Allah SWT. Amal ibadah di hari-hari awal Zulhijjah terutamanya pada hari ke 9 dan 10 menawarkan kepada kita ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
2. Jelasnya, Aidil Adha berkait rapat dengan ibadah Haji iaitu rukun Islam yang kelima. Haji adalah perhimpunan tahunan Umat Islam yang terbesar dan sarat dengan mesej ketuhanan dan kerohanian. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan balasan yang begitu besar bagi mereka yang menunaikan ibadah haji seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud : “Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidaklah ada ganjaran yang layak baginya melainkan Syurga”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
3. Sempena Aidiladha ini semestinya kita mengambil iktibar daripada peristiwa korban yang dinukilkan di dalam al-Quran al-Karim, dari kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan. Ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi meletakkan jiwa sejauh mana pengorbanan kepada agama Allah S.W.T dalam menjalani kehidupan sehingga mampu mengenepikan kepentingan diri dan tuntutan peribadi.
4. Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ianya harus bermula dari diri sendiri. Inilah yang kita pelajari daripada sirah Rasulullah S.A.W yang memberikan inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita dalam membangunkan negara tercinta ini. Justeru, marilah kita menjadikan Aidiladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk kita terus bermotivasi dan komited meningkatkan mutu dan nilai pengorbanan agar kita tergolong di kalangan hamba Allah S.W.T yang dirahmati. Bersama kita berjuang dan berkorban membina masa depan negara yang lebih maju dan progresif sebagai sebuah negara Islam yang berteraskan MAQASID SYARIAH.
5. Akhir kalam, saya dan keluarga mendoakan, buat mereka yang berada di Tanah Suci, selamat mengerjakan ibadah haji dan semoga mendapat haji yang mabrur. Bagi mereka yang lain, marilah kita menyertai para Hujjaj dengan doa restu, takbir, tahmid dan tahlil di samping melaksanakan ibadah korban dengan menghayati ruh pensyariatannya. Tidak lupa marilah kita sama-sama mengambil peluang hari-hari yang penuh barakah ini untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan yang bertambah dan berterusan bagi negara kita yang tercinta.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh