Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomeKelantanViral

Reaksi Beku Aset Majikan Ambil Pekerja Asing Tanpa Permit

By 15 September 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh : Fadzlina Ahmad Fadzli (GM); Roslan Ab.Rahman & Nur Shafira Mat Hussin (PP); Zulfadli Hamid (KK); Siti Rawaida Mohd Noor (TM); Mohd Sanusi Ariffin(Jeli); Anizan Daud (KB)

KOTA BHARU, 16 September (Malaysiaaaktif) – Keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara memang tidak dapat dinafikan, namun limpahan pekerja asing, terutamanya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak dikawal dan berterusan dilihat dapat memudaratkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali baru-baru ini berhubung penguatkuasaan undang-undang pembekuan serta penyitaan terhadap aset majikan yang melindungi atau menggaji PATI bermula Oktober menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai mahu pun majikan.

Tinjauan Malaysiaaktif ke beberapa daerah sekitar Kelantan mendapati orang ramai dan majikan memiliki pandangan yang berbeza berhubung isu berkenaan.

Di daerah Kuala Krai, seorang kakitangan awam, Azuhan Aziz, 42, bersetuju dengan tindakan yang bakal diambil Jabatan Imigresen.

“Tindakan Jabatan Imigresen ini sangat bagus kerana peluang pekerjaan penduduk tempatan sudah lama tersekat berikutan majikan gemar mengupah PATI disebabkan kadar upah mereka jauh lebih murah.

d8a9a815-9745-4e9e-9a7c-4f672bb66b5c

Pekerja asing tidak banyak karenah, sanggup kerja di mana-mana.

 

“Sikap majikan yang ibarat peribahasa ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ akan memberi impak negatif kepada rakyat tempatan yang hilang peluang pekerjaan serta masalah pengangguran semakin meningkat, dan malahan ia merugikan kerajaan kerana pengaliran keluar wang tunai yang lebih banyak untuk membayar kos dan gaji PATI”, katanya.

Berkongsi pendirian yang sama, di Tanah Merah, Mohd Fadhil Ahmad, 49, yang turut mengakui selain upah yang murah, kemasukan PATI tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kadar jenayah di negara ini.

“Kadar upah yang murah sudah pasti mereka ini memerlukan wang yang banyak untuk meneruskan kelangsungan hidup, dan ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah seperti pecah rumah, kongsi gelap, kecurian dan lain-lain.”

“PATI ini juga membawa kepada penularan wabak penyakit kerana kemasukkan mereka ke negara ini tanpa ujian kesihatan,” jelasnya.

Ahli perniagaan yang juga majikan, Mohd Asri, 54, dari Pasir Puteh pula berkata, walaupun beliau menggaji pekerja asing secara sah seramai 100 orang dalam sektor pembinaan, adalah tidak wajar pihak penguatkuasa membekukan aset majikan bermula Oktober ini kerana pihak terbabit sewajarnya mengambil kira tenaga kerja tempatan yang tidak mencukupi dan kurang berdaya saing berbanding  pekerja asing yang sememangnya komited terhadap kerja mereka.

“Pekerja tempatan tidak lasak untuk bekerja selama tujuh hari seminggu berbanding tenaga kerja asing yang boleh bekerja selama seminggu asalkan disediakan kemudahan, seperti tempat tinggal yang berdekatan tapak pembinaan,”jelasnya.

Sementara itu, tinjauan di Gua Musang mendapati rata-rata majikan menghadapi kesukaran untuk menggaji warga asing secara sah. Menurut seorang pengusaha  sektor perladangan, beliau sendiri menggaji PATI seramai 30 orang kerana sukar mendapatkan permit yang sah.

“Saya sudah beberapa kali berulang alik ke pejabat Imigresen bagi mendapatkan permit tetapi gagal, walaupun begitu  saya tetap menyokong kerajaan membekukan aset majikan bagi mengawal kebanjiran PATI ini.

“Tetapi pihak kerajaan perlu juga melihat bahawa tindakan ini akan mendatangkan risiko kepada pengusaha apabila aset dirampas, liabiliti bulanan tetap terpaksa ditanggung sedangkan syarikat tidak dapat beroperasi kerana aset disita,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Seterusnya tinjauan Malaysiaaktif di Kota Bharu mendapati terdapat majikan yang merungut terhadap karenah birokrasi yang berlaku dalam mendapatkan permohonan pekerja asing.

pati9

Dakwaan ketirisan pekerja asing disempadan.

 

Menurut Soo Lan (bukan nama betul), 52, pemilik syarikat perkhidmatan pembantu rumah yang mengendalikan hampir 50 pekerja warga Indonesia menyatakan berlakunya ketirisan dan ketidak cekapan dalam proses permohonan serta pembaharuan permit pekerja asing dalam kalangan agensi kerajaan terbabit.

Menurut beliau lagi, “syarikat yang berdaftar secara sah pastinya dapat dipantau oleh pihak berwajib, tetapi syarikat-syarikat yang tidak berdaftar banyak menimbulkan masalah dan memberikan kesan negatif kepada syarikat yang sah,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau sangat bersetuju dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan tindakan merampas dan membekukan aset majikan yang menggaji dan melindungi PATI.

Secara kasarnya, masalah penggajian PATI berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya ketirisan pekerja asing disempadan, kerana adanya agen-agen yang membawa masuk PATI secara haram, selain tindakan rakyat tempatan yang memilih pekerjaan mengikut minat serta kelayakkan diri.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda