Skip to main content
Berita TempatanSabah

?Felda Global Ventures Tumpu Tanam Semula

By 15 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

?Oleh: Asmidar Zainol, Shahriz Misal & Volintine Jiloh (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Sept (Malaysiaktif) – FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) memberi tumpuan kepada penanaman semula di 15 ribu hektar tanah milik syarikat tersebut di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata pihak lembaga FGV memutuskan untuk memberi tumpuan kepada ladang sedia ada bagi meningkatkan produktiviti hasil tanaman menjelang tahun 2020.

“Setakat ini, pihak lembaga FGV memutuskan untuk tidak membeli ladang-ladang baharu kerana kita memberikan tumpuan dan perhatian kepada ladang yang sedia ada.

“Biji benih daripada klon baharu akan ditanam secara berperingkat di ladang-ladang FGV dan sehingga kini FGV memiliki lebih daripada 300,000 hektar tanah di seluruh negara dan 104 ribu hektar daripadanya adalah di Sabah.

“Seperti yang kita maklum, ladang yang disewa oleh FGV daripada FELDA kebanyakannya mempunyai pokok yang telah berumur oleh itu kita menumpukan perhatian kepada penanaman semula,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, menurut Isa, pembelian ladang-ladang baharu pada tahun akan datang bergantung kepada keadaan semasa.

Tambahnya, perancangan tersebut termaktub dalam prospektus ketika penubuhan syarikat dengan menyatakan penamanan semula di 15 ribu hektar akan dilaksanakan.

Katanya, Sabah antara negeri yang mempunyai kilang pemprosesan sawit terbanyak dengan lapan buah daripada 70 buah kilang di Malaysia.

Beliau ditemui media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan FGV berjumlah RM3.27 juta kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) di Istana Negeri, disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin di Istana Negeri, semalam.

“Pembahagian zakat ini adalah berdasarkan kepada keluasan tanah oleh negeri-negeri berkenaan.

“Di Malaysia, negeri yang mempunyai tanah milik FGV paling luas ialah Pahang diikuti Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Johor dan negeri-negeri lain.

“Oleh yang demikian, jumlah zakat yang dikeluarkan bergantung kepada saiz tanah yang diberi kepada FELDA,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda