
Laporan / Foto : Robani Nabi Ahmad
KOTA BHARU, 29 September (Malaysiaaktif) – “Penyaluran maklumat yang tepat dapat meyakinkan pengundi kepada pihak kerajaan,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Sehubungan itu, beliau berkata, “tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan haruslah menjelaskan kepada rakyat dengan sejelas-jelasnya bagi memastikan mesej kerajaan sampai dan difahami seluruh masyarakat.”
Ini ditekankan oleh beliau semasa menghadiri Majlis Amanat Menteri Bersama Warga KKMM di Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, Wakaf Che Yeh hari ini.

“Pegawai kerajaan bertanggungjawab menyampaikan mesej sejelas-jelasnya supaya difahami seluruh masyarakat.”
Menurut Salleh, warga KKMM harus bersatu menghadapi Pilihanraya Umum K-14 akan datang dan menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan demi kemenangan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Persekutuan juga memberi khidmat terbaik kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, selain bertanggungjawab melaksanakan projek-projek pembangunan.
Majlis dihadiri lebih 100 orang kakitangan Jabatan Penerangan (JAPEN), Jabatan Penyiaran (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Datuk Mohd Sabri Abdullah, dan Pengarah Penyiaran Kelantan, Roslee Mohd Salleh.