Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

26 Pasukan Sertai Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak

By 9 Oktober 2016Tiada komen1 minit bacaan
Gambar fail

 

Oleh Mohd Baharruddin Mohamad

KUCHING, 9 Okt (Malaysiaaktif)-Acara tahunan Sarawak, Regata Perahu Naga Antarabangsa akan kembali dijalankan secara serentak dengan Regata Sarawak bagi menarik peserta asing yang meminati perlumbaan Perahu Naga.

Kira-kira 26 pasukan yang mewakili 11 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak sempena Festival Tebingan Kuching yang dijadualkan pada 11 hingga 13 November depan sebelum Regata Sarawak 2016 diadakan.

image27-1024x768

Perlumbaan Regata Sarawak pula akan diadakan pada 18 hingga 20 November selepas Regata Perahu Naga Antarabangsa.

Sementara itu, sempena Festival Tebingan Kuching akan juga diadakan pameran kraftangan dan makanan tempatan, manakala pada sebelah malam pula akan disajikan pelbagai persembahan setiap suku kaum di Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, antara negara yang sudah mengesahkan pasukan menyertai Regata Perahu Naga, termasuk Brunei, China, Hong Kong, Indonesia, Ireland, Belanda, Filipina, Singapura dan United Kingdom.

Tambahnya, sebuah kelab dari Taiwan juga telah mengemukakan penyertaannya dengan dianggotai seramai 30 orang peserta.

“Kita juga telah menerima penyertaan dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, manakala dari Sarawak hanya dua pasukan sahaja yang akan ikut serta,” katanya semasa sidang media di sini pada Jumaat selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2016.

“Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa dibahagikan kepada terbuka lelaki 12 kru, terbuka lelaki 20 kru, terbuka campuran 12 kru dan terbuka campuran 20 kru.

“Lebih kurang 800 orang dijangka terlibat pada sebagai peserta, 628 daripadanya peserta asing,” ujarnya lagi.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda