Oleh Mohd Baharruddin Mohamad
KUCHING, 9 Okt (Malaysiaaktif)– Seramai 13,000 menyertai program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Sarawak 2016 yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching semalam.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan iaitu Fun Ride (30 km dan 10 km), Senaman Aerobic (mixedaribic), Zumba, Persembahan 10 Gabungan Seni Pertahanan Diri, Cabutan Bertuah, Hot Spot (Challenges), dan Street Soccer.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Zaini Abd. Aziz, program HSN anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak kali ini berjaya menarik perhatian ramai.
“Ini kali pertama saya tengok penyertaan sangat menggalakkan daripada pelbagai peringkat umur, jantina, kaum dan agama di Sarawak kebetulan saya pun baru berpindah ke Sarawak berasa bangga dengan kerjasama yang diberi daripada semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, menjelaskan HSN peringkat Sarawak akan dijalankan serentak di Peringkat Negeri, Daerah, Daerah Kecil, Parlimen dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) yang berlangsung sejak semalam hingga esok.
“Kita mesti giat dalam aktiviti sukan untuk menggelakkan rakyat kita agar tidak menjadi obes dan saya sendiri pun berjoging setiap hari.
“Sukan ini perlu diadakan setiap tahun kerana banyak faedahnya contohnya untuk merapatkan perpaduan. Saya telah difahamkan jumlah keseluruhan di negara kita yang melibatkan diri dalam aktiviti HSN hari ini menjangkau enam juta orang,” katanya semasa merasmikan pelancaran HSN di Padang Merdeka pagi semalam.