Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Adakah Beca Masih Relevan?

By 6 Oktober 2016Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Cara terbaik bagi pelancong untuk menikmati keindahan bangunan dan panorama menarik di negeri bersejarah ini adalah dengan bersiar menaiki beca.

Namun, dengan kepesatan pembangunan dan peningkatan bilangan pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan lain turut disediakan untuk keselesaan mereka seperti perkhidmatan menyewa basikal, scooter, kereta elektrik dan juga kereta berkuda.

Menurut pasangan pelancong daripada New York, Joanne Lee, 38 dan suaminya James Lai, 40, mereka mendapat maklumat tentang adanya perkhidmatan sewa basikal daripada hotel penginapan mereka dan tertarik untuk mencuba kerana kadar sewa yang murah.

“Hanya RM10 dikenakan untuk 12 jam penggunaan. Ini sangat praktikal kerana kami hanya perlu mendaftar secara dalam talian sebelum menggunakannya dan pembayaran akan ditolak daripada kad kredit,” kata Joanne.

joanne-dan-james

Joanne dan suaminya, James menyewa basikal bagi memudahkan pergerakan mereka ketika bercuti di Kota Melaka.

 

Tambahnya yang sedang berbulan madu di sini, dia menginginkan lebih privasi bersama pasangan dan menghabiskan masa berdua sambil menikmati permandangan serta membeli belah.

“Menaiki beca memang satu pengalaman yang menyeronokkan, tetapi hanya terhad kepada tempat-tempat tertentu dengan kadar bayaran yang agak tinggi. Sebolehnya kami ingin berjimat dan bercuti dengan perbelanjaan yang minimum,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pelancong tempatan daripada Selangor, Borhan Hasan, 38, berkata walaupun banyak tawaran kemudahan yang disediakan sebagai pilihan kepada pelancong, namun dia masih memilih beca sebagai kenderaan untuk disewa.

“Bila kita datang ke Melaka, satu perkara yang sinonim dengannya dan bermain di dikiran ialah ingin menaiki beca. Beca ini dah lama ada di sini, dan rasa tidak sah datang ke Melaka kalau tidak menaiki beca,” ujar Borhan.

Tambahnya lagi, kenderaan seperti basikal boleh ditunggang di rumah sendiri, berbeza dengan beca yang boleh ditemui di beberapa buah negeri sahaja. Justeru, sesekali datang bercuti bersama keluarga, beca masih lagi menjadi pilihan utamanya.

borhan-hasan

Borhan Hasan bersama anak-anaknya.

 

Sementara itu, salah seorang pengayuh beca berbangsa Portugis yang ditemui, Mark Bugner Pereira, 41, menjelaskan dia telah melakukan kerja ini selama lima tahun dan mewarisinya daripada bapanya. Bukan hanya dia, lima orang adik beradiknya juga merupakan pengayuh beca sepenuh masa.

“Bapa saya telah menjadi pengayuh beca semenjak tahun 1980-an dan ada 10 buah beca yang kami warisi, empat daripadanya kami sewakan pada kadar RM10 sehari,” kata Mark.

Jelasnya, mereka memperuntukkan RM100 sebulan untuk kos penyelenggaraan beca bagi memastikan beca-beca tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk menjamin keselamatan penumpang.

“Kami juga telah mengeluarkan sekurang-kurangnya RM1,000 ke RM2,000 untuk menghias sebuah beca dengan pelbagai watak animasi sebagai tarikan pelancong terutamanya kanak-kanak,” ujarnya.

Dengan perbelanjaan yang agak besar telah dikeluarkan, mereka perlu mempunyai pendapatan yang kukuh untuk menyara kehidupan namun sedikit sebanyak terganggu dengan persaingan yang ada.

mark

Pengayuh Beca berbangsa Portugis, Mark Bugner Pereira, 41, mewarisi pekerjaan yang telah diiktiraf sebagai duta kecil Melaka daripada ayahnya.

 

“Di sini ada 300 orang pengayuh beca berlesen dan kami perlu bersaing sesama sendiri. Ditambah lagi dengan adanya kemudahan kereta kuda, kereta elektrik, scooter dan basikal sewa, pendapatan harian kami memang terjejas,” keluh Mark.

Kata Mark, sebelum timbulnya pesaing, pendapatan hariannya mencecah RM600 pada musim perayaan dan pada hari biasa, dia boleh memperoleh sekurang-kurangnya RM200. Namun kini, pendapatan pada hari biasa tidak mampu mencapai RM100 dan adakalanya mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

“Apa yang paling mengecewakan kami ialah keselamatan orang awam apabila penyewa-penyewa dibenarkan menyewa kenderaan tersebut walaupun mereka sebenarnya tidak mempunyai lesen motor mahupun kereta. Baru-baru ini, seorang kanak-kanak hampir dilanggar akibat kecuaian penyewa,” luahnya.

Pengayuh beca berharap agar kawasan Kota Melaka ini hanya dikhaskan untuk beca sahaja manakala kenderaan lain ditempatkan dalam satu kawasan yang sesuai. Menurut mereka, pengayuh beca diiktiraf sebagai duta kecil Melaka jadi sepatutnya mereka diberikan keutamaan.

kereta-elektrik

Kereta elektrik antara perkhidmatan lain yang menjadi tumpuan di Melaka.

 

“Sebenarnya, kami ini bukan hanya membawa beca, tetapi kami memikul tanggungjawab untuk bercerita mengenai sejarah Melaka kepada pelancong dan itulah yang lakukan sebagai seorang duta,” ujar Mark kepada Malaysiaaktif ketika ditemui di Kota A’Famosa, di sini pada Isnin.

Tambah Mark, orang-orang lama pengayuh beca memang sepenuhnya mencari makan dengan cara ini, berbanding pengayuh separuh masa yang segelintirnya merupakan pelajar, pekerja kilang ataupun berniaga dalam talian untuk mencari pendapatan sampingan.

kereta-kuda

Perkhidmatan kereta kuda turut disediakan untuk para pelancong.

 

Namun begitu, tumpuan utama mereka masih sebagai pengayuh beca dan mereka sememangnya berhasrat untuk menaikkan nama beca Melaka.

Pinta mereka, agar kebajikan mereka dijaga, sebagaimana mereka sentiasa menyokong kerajaan, begitu juga mereka mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri kerana jika masa depan mereka semakin samar, Melaka mungkin akan kekurangan daya tarikan pelancong suatu hari nanti.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda