Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Tiga Ekor Babi Hutan Ditembak Di Hutan Rekreasi Ayer Keroh

By 6 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Tiga ekor babi hutan berjaya ditembak dalam operasi yang dijalankan selama dua hari melibatkan beberapa agensi di Hutan Rekreasi Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Ini berikutan kejadian di mana seorang pesara berusia 60an disahkan terkena jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE) bawaan nyamuk, selepas bersenam di hutan rekreasi berkenaan pada minggu lepas.

EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata pihak berkenaan telah meletakkan notis pemberitahuan kepada pengunjung sebelum ditutup pada pukul 3.00 petang bagi meneruskan operasi hari kedua.

EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim

EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim – “Orang ramai dinasihatkan memakai pakaian sewajarnya.”

 

“Hanya satu sahaja kes JE di Melaka dan kita juga telah membuat pemeriksaan secara individu pada semua orang yang bertugas di dalam hutan rekreasi berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati mereka bebas daripada JE,” ujar Ab Rahaman.

Menurutnya, walaupun orang ramai masih boleh berkunjung ke hutan tersebut selepas waktu penutupan, namun mereka dinasihatkan memakai pakaian sewajarnya dan tidak mendedahkan diri kepada gigitan nyamuk.

sekitar-hutan-rekreasi-pagi-ni

“Seluruh hutan rekreasi tersebut juga telah disembur dengan kabus (fogging) bagi memastikan sarang-sarang nyamuk telah dimusnahkan. Kita juga telah mengambil sampel darah babi hutan berkenaan sebelum ditembak dan ditanam.

“Kita masih menunggu keputusan ujian darah dalam tiga ke empat hari lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Hadiah Insentif Kemenangan di Sukan Malaysia Sarawak 2016 di Ayer Keroh, di sini.

5

 

Tambahnya, kawasan penternakan babi di dalam negeri juga telah dipastikan tidak berlaku jangkitan dan bebas dari wabak JE. Oleh yang demikian Jabatan Kesihatan tidak perlu membuat tindakan susulan.

Beberapa agensi yang turut terlibat dalam operasi tersebut, termasuk Jabatan Kesihatan Melaka, Jabatan Perhilitan Melaka, Jabatan Veterinar, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Jabatan Perhutanan dan Polis Diraja Malaysia Melaka.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda