Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

APM Jawab Kes Ular Dalam Modul Pembinaan Kumpulan Murid

By 20 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh : Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Malaysiaaktif)  – “Penggunaan ular sawa yang tidak agresif dalam program Modul Pembinaan Kumpulan Murid adalah secara spontan dan pertama kali dibuat”.

Demikian jelas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Haji Selamat Haji Dahlan semasa sidang media bagi menjelaskan status terkini rakaman berdurasi dua minit yang viral di media sosial di Ibu Pejabat APM Jalan Padang Tembak, di sini semalam.

“Ia di luar pengetahuan pihak pengurusan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan tidak termasuk dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) modul latihan tersebut”, tambahnya.

Menurut beliau lagi, sejak tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 23 buah sekolah dengan 1,622 orang peserta telah menjalani modul latihan yang bertujuan untuk mengukur tahap kerja, kerjasama dalam kumpulan, pematuhan arahan dan komunikasi dalam kalangan peserta.

“Pihak APM amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memandang serius perkara tersebut. Walaupun aspek keselamatan peserta amat dititikberatkan, kejadian tersebut adalah di luar jangkaan,” tambah beliau.

“Pada saat ini, modul berkenaan sedang disiasat bagi mengenalpasti jika wujudnya pelanggaran mana-mana SOP selain tindakan-tindakan lain yang perlu diambil bagi membendung insiden tersebut berulang”.

Beliau juga menjelaskan berikutan kejadian tersebut, empat orang pegawai APM telah diberikan cuti sehingga siasatan selesai dan pihak APM juga telah berkunjung ke sekolah dan berjumpa kesemua pelajar terbabit serta guru pengiring bagi mendapatkan maklumbalas.

Jelas Datuk Haji Selamat lagi, “Perjumpaan bersama semua ibu bapa pelajar juga akan dibuat dalam waktu terdekat.  Pihak APM memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian dan menghentikan penyebaran video berkenaan di media sosial”.

Rakaman video berdurasi dua minit yang memaparkan sekumpulan pelajar diarahkan menyeberangi kolam yang mengandungi ular semasa mengikuti Modul Pembinaan Kumpulan Murid yang dikendalikan oleh anggota APM Kuala Kangsar, Perak telah menjadi viral di media sebelum ini.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda