Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri SembilanViral

Guna Modul Pilihan Raya Sebenar

By 6 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

         

Oleh Suzilawati Kamarudin

SEREMBAN, 6 OKT (Malaysiaaktif) – Menggunakan modul pilihan raya sebenar yang dimulakan dengan pembubaran parlimen, penamaan calon, berkempen, membuang undi dan pengiraan undi telah memberi manfaat kepada lebih 80 orang pelajar Kelab 1 Malaysia Daerah Seremban yang menyertai program Simulasi Pilihan Raya Kelab 1Malaysia Daerah Seremban 2016 dekat sini.

mkc_1407

Para pelajar dapat merasai pengalaman sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, berkempen dan bertanding sebagai calon parti dan membuang undi di hari pilihan raya.

Di samping itu, pelajar juga berpeluang melihat pelbagai situasi semasa simulasi dijalankan seperti seorang ibu mengandung sakit bersalin, orang kurang upaya penglihatan dan warga emas membuang undi.

Di dalam simulasi ini, turut dimaklumkan, selain kad pengenalan diri terdapat dokumen berdaftar kerajaan yang lain turut boleh digunapakai semasa mengundi.

Semua proses pembelajaran dalam peringkat pilihan raya olok-olok ini menggunakan modul sebenar dengan diketuai oleh Pannir Chelvan Suppiah bersama 23 orang juru latih PLKN Kem Sri Perkasa.

mkc_1544

Pelajar tingkatan 6 dari SMK King George V, Lokman Nur Hakim Bin Abdullah, yang mendapat undian majoriti Parliman Sungei Ujong dengan parti kunci melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Seremban kerana memberi peluang merasai seperti keadaan sebenar pilihan raya walaupun hanya simulasi, ketika ditemubual.

“ Program seperti ini sangat memberi manfaat kepada pelajar tingkatan 5 dan 6 kerana tajuk Pilihan raya termasuk dalam silibus pembelajaran pelajar di sekolah”, kata Raja Siti Nor Bin Raja Ali, Guru Penyelaras Kelab 1Malaysia SMK King George V.

Simulasi ini melibatkan komitmen kesemua pelajar Kelab 1Malaysia Daerah Seremban terdiri daripada Pelajar Kelab 1Malaysia SMK Rantau, SMK King George V, SMK Dato’ Kelana Putra, SMK Dato’ Shahardin, SMK Sri Ampangan dan SMK Ampuan Durah.

Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian sijil dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Tan Fook Min.

Program anjuran bersama Pejabat penerangan Daerah Seremban, Kem PLKN Sri Perkasa, Mantin, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sembilan ini menekankan aspek ketelusan sepanjang simulasi pilihan raya berlangsung sebagaimana pilihan raya sebenar yang diamalkan di Malaysia sejak 59 tahun yang lalu.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda