Oleh: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)
KOTA KINABALU, 17 Okt (Malaysiaktif) – “Sentiasa fokus dalam menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan juga ialah resipi yang saya pegang sejak bangku sekolah lagi.”
Pelajar Cemerlang Diploma Kejuruteraan Awam, Markfaisarrudin Mohd Alias, 22, berkata demikian ketika ditemui Malaysiaaktif dalam Majlis Anugerah Cemerlang anjuran Politeknik Kota Kinabalu pada Jumaat.
Anak keempat daripada lima beradik ini berkata komitmen yang tinggi menjadi asas kepada kejayaan konsistennya yang memperoleh keputusan cemerlang dengan agregat 3.9 sejak semester satu pengajian.
“Saya menyimpan hasrat dan cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menceburi pekerjaan dalam bidang yang sama,” ujarnya lagi.
Sementara itu, anak kelahiran Tawau, Jurusan Diploma Pengajian Perniagaan, Marsidah Majid berkata peranan sebagai Ketua Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Kota Kinabalu sama sekali tidak menghalang untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
“Sentiasa bersikap positif dan tidak cepat berputus asa, selain bersikap ingin mencabar diri adalah antara faktor kejayaan ini. Diharap kecemerlangan ini akan berterusan sehingga cita-cita untuk menjadi usahawan yang berjaya tercapai kelak,” ujarnya lagi.
Seramai 380 pelajar yang menerima anugerah pada majlis tersebut adalah terdiri daripada para pelajar yang telah mendapat Himpunan Purata Nilai Mata 3.50 dan ke atas bermula daripada semester satu sehingga penilaian sesi Disember 2015 bagi semua jabatan akademik.
Dalam pada itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Roslee Yahya berkata penganjuran majlis ini adalah bagi mengiktiraf kecemerlangan dan menghargai kesungguhan para pelajar yang berusaha dalam bidang akademik, seterusnya meningkatkan daya saing secara sihat dalam kalangan pelajar.
“Majlis ini penting bagi menghargai para pelajar yang berusaha untuk cemerlang seterusnya dapat menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha sehingga tamat pengajian.
“Diharap majlis ini akan menjadi platform dan motivasi kepada pelajar lain untuk mengikuti langkah rakan mereka yang cemerlang ini”, katanya semasa merasmikan majlis berkenaan.
Jabatan Kejuruteraan Awam turut menerima Anugerah Jabatan Akademik Cemerlang berdasarkan prestasinya cemerlang melahirkan bilangan pelajar cemerlang tertinggi dalam kalangan enam jabatan akademik lain.
-SF