Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Lapangan Terbang Baharu Bakal Lonjak Ekonomi Mukah

By 17 Oktober 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Baharruddin Mohamad/Foto : Remmy Ramai Sukup

MUKAH, 17 Okt (Malaysiaaktif) – “Saya mewakili rakyat di kawasan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukan RM42 juta untuk membina Lapangan Terbang Baru Mukah.

“Lapangan terbang ini akan menjadi pemacu lonjakan ekonomi di bandar kecil Mukah, memperkembangkan mobilisasi manusia dan perniagaan di kawasan ini. Penerbangan yang menggunakan pesawat “Twin Otter” pada masa ini amat terhad dan banyak bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

“Untuk menggunakan penerbangan dari lapangan Terbang Sibu mengambil masa dua jam dengan menggunakan jalan darat dan amat tidak ekonomik kerana tiada pengangkutan awam seperti teksi dan bas dari lapangan terbang Sibu dari atau ke Mukah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo ketika ditemui Malaysiaaktif di pejabatnya di sini pada Sabtu.

Tambahnya, biarlah lapangan terbang baharu nanti memberi peluang kepada Bumiputera tempatan untuk berniaga dan mendapatkan premis-premis perniagaan di sekitarnya agar produk-produk tempatan sama ada dalam bentuk makanan atau kraf tangan dapat dibawa keluar dengan lebih efisien. Di samping itu, boleh membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha dalam bidang pelancongan yang sedang rancak berkembang di Mukah dan Balingian.

Menurut Yussibnosh lagi Mukah mahu dikenali sebagai “Bandar Bestari” (Smart city) setelah siap pusat-pusat pendidikan, pusat pengajian tinggi dan beberapa lagi yang pembangunan yang sedang rancak dibangunkan juga memerlukan sistem pengangkutan yang lengkap. Oleh itu, sekali lagi saya melihat bahawa pembinaan lapangan terbang baharu di Mukah adalah tepat pada masanya

“Dalam pada itu, kewujudan Serian sebagai Bahagian yang ke-12 dan sembilan daerah baharu iaitu Tebedu, Pusa, Kabong,Tanjung Manis, Bukit Mabong, Sebauh, Subis, Beluru, Telang Usan dan empat daerah kecil baharu iaitu Mulu, Long Bedian, Tinjar dan Bario telah membuktikan bahawa kerajaan amat serius dalam membangunkan kawasan luar bandar dengan memastikan kehadiran jentera pentadbiran sampai ke seluruh pelusuk negeri untuk memperkasakan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Pelan Tindakan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SCS10-20).

“Untuk itu sekali lagi, saya memohon agar pengisian kakitangan teknikal perlu diutamakan. Saya memohon kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak agar diwujudkan jawatan juruteknik yang boleh ditempatkan di Pejabat Residen di setiap Bahagian agar mereka tidak bergantung kepada jabatan-jabatan teknikal laindalam menjalankan tugas-tugas pengimplimentasian projek.”, jelasnya lagi.

Sementara itu, menurut pemandu lori simen, Charle Anthony, 55, jika lapangan terbang ini siap maka dapatlah kapal terbang jenis besar mendarat untuk membawa penumpang baik ke Kuching, Miri, Sibu, Tanjung Manis atau terus ke Kuala Lumpur mahu pun ke mana-mana sahaja destinasi yang dijadualkan.

“Sekarang hanya kapal terterbang jenis Twin Otter sahaja dapat mendarat untuk membawa penumpang dengan muatannya hanya dapat membawa belasan orang sahaja.

“Apabila siap nanti penduduk Mukah berasa lega dan berpeluang untuk menikmati kemudahan yang dinaik taraf nanti. Sekarang apabila penumpang nak pergi sama ada ke Kuching atau destinasi lain selalunya kapal terbang penuh,” ujarnya lagi di tapak lapangan terbang.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda