Skip to main content
Home

Najib:Kenang UiTM Sebagai Institusi Keramat Bangsa Melayu 

By 15 Oktober 2016Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Norila Daud

SHAH ALAM 14 OKT —  Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang melahirkan sebanyak 661,456 graduan  sejak ditubuhkan 60 tahun lalu adalah sebuah universiti tersohor dan unggul di negara ini berikutan kejayaannya melahirkan  modal  insan yang bukan sekadar mengisi  industri pekerjaan malah turut membantu dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,  UiTM bukan sahaja melahirkan graduan yang ramai dengan ada di antaranya memegang jawatan-jawatan tinggi dalam industri pekerjaan, malah turut menjadi  pemimpin-pemimpin berwibawa dan tokoh-tokoh profesional dalam pelbagai bidang.

Menurut Najib, beliau percaya para pemimpin tanah air yang turut sama dalam usaha menubuhkan UiTM terutamanya ayahandanya Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak pasti berasa bangga dengan pencapaian UiTM kerana merupakan penyumbang modal insan terbesar negara berbanding universiti awam lain.

img_7604

Pemenang anugerah, Wan Nazri dan Muhamad Muqharabbin berkongsi kegembiraan.

 

“Kita juga perlu merakamkan tanda hormat dan penghargaan kepada para pelopor dan pejuang UiTM sama ada berperanan di peringkat merintis, menubuh, membina dan meneruskan kelangsungan legasi UiTM.

“Penghargaan juga diberikan kepada naib-canselor, barisan kepemimpinan dan pihak pengurusan yang berperanan bagi memastikan UiTM bergerak pantas dan berkembang pesat tanpa berkompromi terhadap kualiti produknya,” kata Najib dalam ucapan perasmian Majlis Kemuncak Sambutan UiTM 60 Tahun di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam di sini pagi ini.

img_7568

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Naib-Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Ir. Dr. Ahmad  Zaidee Laidin, Mantan Pro-Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub,  dua mantan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Shah Abu Shah dan Prof. Emeritus Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar,  Pengerusi Lembaga Amanah TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan  Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Zaini Hassan.

Najib turut menyentuh tentang dasar “Social Mobility” yang diamalkan di negara ini sehingga menghasilkan golongan profesional dalam satu generasi. Kebanyakan orang-orang Melayu dahulu miskin tetapi hari ini sudah berjaya, maka itu mereka perlu menyumbang kembali kepada UiTM sebagai institusi keramat yang banyak membantu dan memberi keadilan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera sejak sekian lama.

“Kita berkongsi kekayaan negara tidak mengira bangsa. Orang-orang kampung perlu diberi peluang untuk menerima pendidikan. Mereka tidak berpeluang kerana keadaan sekeliling dan kerana itu kita perlu membantu, tidak mengira jawatan untuk meneruskan perjuangan UiTM,” tegas beliau.

Najib turut menyentuh tentang Tabung Pendidikan 1 Bilion yang dilancarkan tahun lepas yang masih tidak mendapat sambutan dalam kalangan alumni UiTM.

img_7607

Najib bertanyakan butiran cenderamata yang diterimanya selepas Majlis Kemuncak Sambutan Ulang Tahun UiTM Ke-60.

 

Beliau berkata, sekiranya setiap alumni seramai 661,456 menyumbang sebanyak RM1,500 maka jumlah 1bilion akan dapat dikumpulkan. Sekiranya tidak mahu memberi secara tunai maka ia boleh dilakukan secara ansuran.

Beliau turut menyeru kepada alumni UiTM yang berjaya menyumbang kepada TP1B kerana baginya anak-anak Melayu dan Bumiputera di kawasan pedalaman perlu diberi bantuan kerana mereka bukan tidak mampu belajar tetapi tidak mendapat peluang seperti golongan yang tinggal di bandar-bandar besar.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan Tabung Dana Keusahawanan Siswa bagi membantu golongan yang hendak memulakan perniagaan dengan pembiayaan tidak dikenakan bunga.  Pengerusi Global Invention & Entrepreneurship  Foundation (GIEF), Datuk Ghazi Sheikh Ramli menyerahkan replika cek bernilai RM1juta sementara Timbalan Presiden Eksekutif, Bank Muamalat, Ismail Ibrahim menyerahkan cek bernilai RM100,000.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah pelbagai kategori kepada pemenang.   Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dinobatkan sebagai  pemenang Anugerah Ikon Alumni Bagi Pencapaian Profesional,  Datuk Kamarudin Meranun menerima anugerah untuk keusahawanan  dan Awang Damit Ahmad untuk kategori budaya. Sementara dalam Anugerah Ikon Alumni Untuk Kemanusiaan, Norazam Ab. Samah muncul sebagai  pemenang, Wan Nazri Wan Aria untuk Alumni Muda dan Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menerima anugerah untuk sukan.-habis

 

-PAUITM

Tinggalkan komen anda