Oleh: Yahya Abdul Rajak, Azman Jumat & Vicky (Sabah)
KUNDASANG, 17 Okt (Malaysiaktif) – Cuaca sejuk dengan tiupan angin purata 30 hingga 40 km sejam dengan jarak penglihatan 10 meter menjadi penghalang kepada peserta ‘Mt.Kinabalu International Clambathon’ untuk sampai ke puncak Kinabalu.
Menurut Pengarah Kejohanan Sri Pelancongan Sabah, Zachary Mobijohn, jawatankuasa pertandingan terpaksa mengambil keputusan memendekkan jarak larian daripada 26 kilometer kepada 20 kilometer berikutan keadaan cuaca tidak menentu di puncak Gunung Kinabalu.
“Kami terpaksa mengurangkan enam kilometer jarak larian kepada 20 kilometer iaitu hanya di Panar Laban setinggi 3314.3 meter dari lokasi awal pelepasan di Pintu Utama Taman Kinabalu.
“Keputusan ini adalah atas nasihat daripada Jabatan Meteorologi, berikutan tiupan angin tidak menentu hingga mampu mencecah 40 km/j dengan jarak penglihatan 10 meter.
Katanya lagi, keputusan ini turut mengambil faktor keselamatan yang dihadapi petugas di puncak gunung.
Keputusan perubahan ini agak mengecewakan sebahagian peserta terutamanya pemenang kejohanan untuk edisi 29 dari Malaysia ini iaitu Safrey Sumping yang mencatatkan dua jam 21 minit 33 saat.
Safrey berkata keadaan cuaca yang sejuk dan berangin kencang merupakan antara halangan mencabar menyebabkan saya terpaksa berhati-hati pada setiap langkah larian.
“Agak kecewa juga tidak dapat berlari hingga ke puncak, tetapi untuk keselamatan semua yang terlibat saya terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat,” katanya selepas menamatkan larian.
Naib juara turut dimenangi peserta Malaysia, Wincentbert Latius dengan catatan masa dua jam 22 minit 58 manakala tempat ketiga dimenangi peserta Kenya, John Kipkorir Rutto dengan catatan dua jam 28 minit 23 saat.
“Agak kecewa dengan pencapaian tahun ini. Saya mendahului larian namun terjatuh ketika menuruni gunung menyebabkan saya mengalami sedikit kecederaan.
“Saya terpaksa berpuas hati dengan keputusan hari ini tetapi masih tidak puas disebabkan saya tidak dapat mencuba laluan baharu sejak pertandingan ini kembali diadakan pada tahun ini berikutan keputusan penganjur mengubah jarak laluan.
“Keadaan jalan agak licin dan basah serta berangin,” ujarnya dengan menyatakan akan mengikuti kejohanan ini pada edisi akan datang.
Sementara itu, johan bagi kategori wanita elit disandang peserta dari Filipina, Sandi Menchi Catlona Abahan dengan catatan dua jam 58 minit 48 saat, manakala pemenang kedua dimiliki peserta Kenya Viola Jepchirchir Kimeli dengan tiga jam 11 minit 42 saat sementara ketiga milik Malaysia menerusi Tahira Najmunisaa Muhammad dengan catatan tiga jam 22 minit 22 saat.
Johan kategori elit lelaki dan wanita akan membawa pulang wang tunai RM 8,000 berserta medal kejohanan, naib Johan memperoleh RM6,000 manakala tempat ketiga RM 4,000.
Perlumbaan edisi ke-29 ini telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun di Taman Kinabalu seawal 7.00 pagi Ahad.
-SF