Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Fariz Faizal Mohd Nazri
PUTRAJAYA, 14 Okt (Malaysiaaktif) – “Saya paling rindu sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, kerana kemeriahan suasananya. Sebelum ini, saya tidak pernah mendapat pengalaman sebegini begitu juga dengan sambutan Hari Malaysia di Bintulu yang saya rasakan walau sederhana tetapi amat menarik.”
Ikon Patriotik 2016, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata demikian kepada Malaysiaaktif ketika Program Jaringan Strategik Merdeka 2016 di Taman Botani pada Rabu.
Tambahnya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini cukup menakjubkan kerana disertai oleh pelbagai kumpulan sasar.
“Menakjubkan! Ini yang saya boleh katakan. Pelbagai pihak melibatkan diri, tidak hanya terikat kepada satu-satu kumpulan sasar sahaja. Sekolah, agensi kerajaan mahupun agensi bukan kerajaan melibatkan diri tidak kira secara individu ataupun berkumpulan.
“Program yang dijalankan juga memaparkan semangat kenegaraan dan nilai sayang akan tanah air seperti Program Pengisahan Kenegaraan, Program Keceriaan, Kembara Jalur Gemilang dan sebagainya. Pada saya elemen kenegaraan itu yang membuatkan sambutan kita sangat istimewa,” jelas Siva yang merupakan pensyarakah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Pada majlis tersebut, seramai 1,350 petugas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 diraikan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, Guru Besar, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Sialan, Tangkak, S.Mayachandran yang merupakan pemenang kategori Sekolah (Menengah/Kebangsaan/Jenis Kebangsaan) bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2016 berasa bangga kerana berjaya membawa nama sekolah di peringkat kebangsaan.
“Ya, kami menang RM1,200 di peringkat daerah. Kemudian RM2,000 di peringkat negeri dan kini RM5,000 di peringkat kebangsaan. Namun pada kami bukan duit yang dibanggakan tetapi nama kami naik pentas yang mewakili semua sekolah di seluruh Malaysia.
“Walau hanya dengan 300 orang pelajar dengan 26 guru dan dengan bantuan para ibu bapa yang gigih membantu kami dalam kumpulan yang kecil ini, kami dapat menonjolkan sekolah kami hingga peringkat kebangsaan. Satu kurniaan Tuhan yang cukup besar,” ujarnya.
Tambah Maya, pelbagai kenangan manis yang diperoleh menerusi Pertandingan Keceriaan ini.
“Perkara yang paling saya tidak boleh lupakan apabila pihak sekolah, murid-murid dan ibu bapa bersama-sama hadir apabila kami mendapat panggilan daripada pihak pemantau berkata nak datang pukul 7.30 malam.
“Jadi, kami semua berkumpul namun mereka (pihak pemantau) hanya sampai pada pukul 11.30 malam. Walaupun penat, masing-masing masih gigih membuat perbarisan dengan melaungkan kalimat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali. Pemantauan yang menilai bagi pengcahayaan selesai memantau pada kira-kira 2.00 pagi.
“Ini belum lagi dengan ibu bapa yang sanggup datang dalam tempoh tiga minggu sampai anak-anak murid tahun satu pun turut sama membantu mewarnakan semua barang. Habis baju dan anggota badan mereka penuh dengan cat. Ini amat menyentuh hati kita,” katanya lagi.
SJKT Jalan Sialan, Tangkak berjaya memenangi pertandingan tersebut dengan menggunakan barang-barang terpakai seperti bekas telur, botol terbuang, tempurung kelapa selain mendapatkan sumbangan bendera daripada para ibu bapa.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad.
-DZ