
Oleh: Zaidi Jamin (Sabah)
KOTA KINABALU, 17 Okt (Malaysiaktif) –Pemindahan organ daripada penderma sama ada yang hidup atau sebaliknya kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ kritikal dikenal pasti sebagai antara kaedah berkesan menyelamatkan nyawa pesakit berkenaan.
Menurut Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. Heric Corray, pemindahan organ daripada penderma organ kepada pesakit yang mengalami kerosakan atau organ gagal berfungsi mampu menyelamatkan nyawa pesakit.
“Bagi penderma yang meninggal dunia hanya boleh dilakukan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada waris dan mesti dijalankan secara steril yang berbeza daripada proses bedah siasat.
“Semua proses dijalankan dengan penuh hormat dan tertib. Malah proses tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh jenazah. Keseluruhan proses tidak bercanggah dari sudut mana-mana agama.”
Dr.Heric berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat HQE di Auditorium, Menara Berkembar HQE, pada Jumaat.
Tambahnya, masyarakat harus sedar pendermaan organ merupakan suatu amalan berteraskan kebajikan, keikhlasan malah memberi harapan kepada mereka yang memerlukan.
“Pihak Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai usaha dan kempen menggalakkan masyarakat untuk menderma organ namun sehingga kini jumlah penderma berdaftar sebagai pengikrar masih rendah.
Bertemakan ‘Ketahui Hasrat Mereka’, Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dilancarkan pihak Hospital bagi menyebarluaskan mesej kepada umum untuk menjadi sebahagian daripada pengikrar derma organ.
Ujar Heric lagi, antara kriteria yang membolehkan proses pemindahan dilaksanakan termasuklah kesesuaian organ kepada si penerima, organ atau tisu masih berfungsi dengan baik dan yang penting persetujuan dan kebenaran keluarga si penderma.
“Antara organ yang boleh didermakan adalah seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal).
“Manakala pendermaan terhadap tisu meliputi kornea, injap jantung, kulit, tulang, tendon, ligamen, arteri atau vena, amnion, sum-sum tulang dan sel stem. Dermalah organ demi sebuah kehidupan, ketahui hasrat mereka, pasti kita mampu menerangi hidup insan lain’, jelas Heric.
Antara pengisian menyentuh perasaan ialah perkongsian pengalaman seorang penderma, Demian George, berkorban mendermakan buah pinggangnya demi kakaknya Benardite George selain Mimie Hazlina Hamidon yang menerima buah pinggang daripada adiknya.
-SF