Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Kolam Kecil Ikan Besar

By 17 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Md Sazali Ab Hamid

PENGKALAN HULU, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Seekor ikan keli Afrika seberat 14.3 kilogram dinobatkan sebagai ikan terberat yang berjaya dipancing dalam Pertandingan Memancing Komuniti 1Malaysia Daerah Pengkalan Hulu, pada Sabtu.

Sarjan Abd Malik Saad dari Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu berjaya menaikkan keli Afrika tersebut seterusnya merangkul tempat pertama dengan hadiah wang tunai berjumlah RM400.

Pertandingan tersebut yang diadakan di sebuah kolam di Kampung Bukit Buluh, Pengkalan Hulu disertai hampir 80 peserta pelbagai kaum di sekitar daerah ini. Peserta rata-ratanya teruja dengan saiz ikan yang terdapat di dalam kolam tersebut yang sebahagian besarnya mencapai berat 10 kilogram ke atas.

“Saya terkejut melihat ikan yang besar di dalam kolam yang agak kecil sebegini. Selalunya kolam besar namun ikan di dalam kecil tapi di sini lain. Harap mudah untuk ikan memakan umpan,” ujar Khalid Ibrahim, 35, yang merupakan salah seorang peserta pertandingan.

abd-malik-saad-pemenang-tempat-pertama

Tempat pertama berjaya dirangkul oleh Sarjan Abd Malik Saad dengan ikan keli Afrika seberat 14.3 kilogram.

 

Menurut pemilik kolam tersebut, Muhammad Adzmi Ariffin, 62, dia bercadang untuk membesarkan lagi kolam tersebut  bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Kadang-kadang ada juga program Hari Keluarga agensi kerajaan yang diadakan di sini, tetapi kurang selesa bila tempat terlalu sempit. Contohnya seperti hari ini, ramai yang ingin turut serta tetapi kolam kecil,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim dalam ucapan perasmiannya berjanji akan memperbaiki prasarana di kawasan kolam bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai salah sebuah tempat yang menjadi tumpuan di daerah ini.

“Saya berharap agar program di tempat seperti ini diadakan lebih meriah dan lebih hebat pada masa akan datang dengan kerjasama pihak Komuniti 1Malaysia di daerah ini,” ujarnya.

Turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Hassan Ashaari Abu Bakar yang turut berminat untuk mengadakan program di kolam tersebut pada masa akan datang.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda