Oleh: Yahya Abdul Rajak & Azman Jumat (Sabah)
KUNDASANG, 14 Okt (Malaysiaktif) – Upacara ritual bagi memohon keizinan, perlindungan dan keselamatan untuk para peserta serta petugas kejohanan Antarabangsa Mendaki Gunung Kinabalu (MKIC) kembali diadakan bagi menandakan kejohanan ini bersedia untuk dimulakan.
Kejohanan yang ditangguhkan berikutan gempa pada tahun lalu, kini kembali dengan edisi ke-29 yang lebih mencabar dengan beberapa laluan baharu akan dilalui oleh peserta.
Menurut Majlis Penasihat Adat Gunung Kinabalu, Susukuon Abas Rintingan, 94, ritual ini sebagai memohon keizinan dan perlindungan keselamatan untuk semua yang terlibat dalam acara ini nanti.
“Ritual ini dipanggil ‘Monolob’ yang dilakukan sebelum sesuatu acara besar yang melibatkan aktiviti pendakian di gunung terbabit.
“Ritual ini ialah suatu kepercayaan dan adat istiadat bagi masyarakat di persekitaran gunung ini,” tambahnya ketika mengetuai upacara tersebut pagi tadi.
Ritual bermula seawal 8.00 pagi tadi yang melibatkan seramai 10 orang daripada kalangan penduduk setempat.
Sebelum ini, ritual menggunakan seekor kerbau dikorbankan untuk dipersembahkan kepada penjaga gunung berikutan pelanggaran adat dari segelintir pelancong asing yang berbogel di puncak gunung terbabit.
Bagi edisi kali ini ritual ini telah diadakan berhampiran pintu masuk Timpohon Kinabalu dengan melibatkan tujuh ekor ayam yang akan disembelih, tujuh biji pinang, tujuh bijih telur, tujuh batang kirai (dauh sirih) serta sigupan.
Melalui pelaksanaan upacara ini, diharap perjalanan Kejohanan Antarabangsa siri ke-29 Mendaki Gunung Kinabalu akan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pelancaran kejohanan akan disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Haji Masidi Manjun pada Ahad bermula 7.00 pagi di pekarangan Taman Kinabalu.
Seramai 121 peserta telah mengesahkan penyertaan antaranya 90 lelaki, 31 wanita dan tumpuan pastinya kepada pemenang kejohanan 2014 iaitu Dai Matsumoto dari Jepun yang berjaya mencatat masa perlumbaan selama empat jam 11 minit 25 saat.
-SF