Oleh Asmidar Zainol & Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 9 Nov (Malaysiaktif) – Buat julung kalinya, graduan Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah dinobatkan antara sembilan pelajar terbaik UiTM di seluruh negara.
??
Penerima Anugerah Tun Abdul Razak, Ahmad Fauze Abdul Hamit, 25, berkata dia sangat bersyukur dengan penganugerahan tersebut.
“Saya amat bersyukur kerana terpilih sebagai penerima anugerah ketiga tertinggi selepas Anugerah Tuanku Canselor dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor UiTM.
“Sebagai penerima pertama UiTM Sabah, saya harap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar baharu khasnya dalam bidang kewangan untuk tidak putus asa dalam menimba ilmu di sini,” ujarnya.
Menjadikan Koordinator Program, Profesor Madya Dr Imbarine Bujang sebagai sumber inspirasinya, Ahmad Fauze berkata Dr Imbarine banyak memberi dorongan untuk dia terus mengejar cita-citanya.
“Sepanjang tempoh menimba ilmu, ada ketikanya saya berasa sukar untuk meneruskan pengajian dan pernah juga berhasrat untuk berhenti.
“Dr Imbarine banyak memberi dorongan kepada saya untuk tidak mudah berputus asa dan tidak mengalah memandangkan peluang yang telah sedia ada di depan mata saya ini perlu digapai dengan sebaik mungkin untuk menempa kejayaan pada masa hadapan.
“Selain itu, keluarga terutamanya ibu bapa saya turut memberi semangat yang kuat kepada diri saya.
“Kami bukan berasal dari keluarga yang senang, jadi pengorbanan bapa, Abdul Hamit Sani, 50, yang berkerja dalam sektor pembinaan dan ibu, Siti Mariam Hj Mohamad, 45, yang bekerja sebagai pembantu di restoran memberikan motivasi kepada saya untuk terus berjuang bagi mengubah nasib keluarga,” ujarnya.
Anak ketiga daripada lima orang adik- beradik ini mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Risiko Kewangan dan pada ketika ini dia sedang dalam proses untuk menyambung pengajiannya di peringkat doktor falsafah (PHD).
Fauze yang cita-cita menjadi pensyarah dan pakar pengurusan risiko kewangan berharap satu hari nanti dia dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dengan kepakaran yang diperolehnya.
Ditanya berkenaan teknik membahagikan masa untuk belajar, anak kelahiran Tawau ini berkata dia membahagikan masa kepada dua kaedah.
“Saya akan memperuntukkan masa dengan belajar bersama rakan-rakan selain belajar sendiri dengan meneliti kembali hasil perbincangan bersama rakan.
“Saya lebih senang menyerap ilmu pada waktu malam berbanding waktu siang, jadi setiap pelajar harus tahu kemampuan diri masing-masing,” jelasnya.
Fauze turut memberi nasihat agar pelajar tidak membuat ulang kaji pada saat akhir dan paling penting harus fokus semasa berada dalam kelas.
Fauze ditemui media semasa majlis makan malam Pra-Graduasi Fakulti tersebut di salah sebuah hotel di sini pada Selasa.
Selain memberi pengiktirafan kepada Fauze, turut disampaikan Anugerah Dekan Setiap Semester, Anugerah Subjek Terbaik Mengikut Semester dan Anugerah ANC bagi Graduan.
–SF