Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Sistem Kawalan Penyimpanan Air Atasi Masalah Air, Banjir Kilat

By 9 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Malaysiaktif) – Isu bekalan air, banjir kilat dan pencemaran air yang sering dihadapi akhir-akhir ini khususnya di Kuala Lumpur bakal diatasi dengan terlaksananya projek Sistem Kawalan Penyimpanan Air yang julung kali dilaksanakan di Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Rintis Sistem Kawalan Penyimpanan Air di Restoran Terapung D’Saji, di sini semalam berkata, “Pelaksanaan projek rintis oleh ASI Air Simpanan Sdn.Bhd. ini bertepatan pada masanya dan amat dialu-alukan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan”.

“Ini kerana ia dilihat mampu menyelesaikan isu-isu berkaitan bekalan air yang dihadapi di Kuala Lumpur serta dapat mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada negeri lain untuk sumber bekalan air di Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Projek usahasama syarikat perusahaan digital terkemuka yang juga peneraju dalam arena air digital, ASI Air Simpanan Sdn.Bhd. akan menggunakan teknologi terkini bagi menambah baik kualiti air, memastikan kelangsungan dan kelestarian sumber air khususnya bagi kawasan Wilayah Persekutuan untuk jangka masa panjang.

Syarikat ini akan mengintegrasikan telaga tiub dengan teknologi air digital dalam menangani cabaran pengagihan bekalan air daripada sumber air semulajadi dan pengumpulan air sisa melalui penggunaan data dan analisis.

Fasa pertama projek ini akan melibatkan pembinaan 20 telaga tiub yang mampu menampung 716,000 liter air setiap tiub di kawasan Tasik Titiwangsa untuk menyimpan air hujan, air semulajadi dan air sisa terawat daripada kawasan setempat dan dijangka siap pada 2018.

Fasa kedua pula sebanyak 1,200 tiub lagi akan dibina di 30 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejurus selepas fasa pertama siap.

 

Tinggalkan komen anda