Foto pemantauan ‘drone’ JPS
Oleh Ahmad Faizal Azman dan Nor Sofian Abdul Manan
HULU SELANGOR, 28 November – Sejumlah 133 orang daripada 61 keluarga yang yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Serendah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sekolah Rendah Agama Serendah, sementara tiga keluarga lagi belum mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ini dinyatakan oleh Pegawai Daerah Hulu Selangor selaku Pengerusi Bencana Daerah, Mohd Fauzi Mohd Yatim dalam sidang media berhubung kejadian tersebut di Taman Idaman, Serendah Sabtu lepas.
Beliau berkata, “Kerja-kerja pembersihan tapak kini 20 peratus selesai dan akan disambung hari ini, manakala kerja-kerja cerucuk tebing telah selesai.”
Menurut Fauzi, hari ini tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pemasangan benteng gabion di belakang cerucuk tebing, dan pemasangan pembetung berbentuk ‘U’ di kawasan aliran air bawah tanah.
Turut dilakukan kerja-kerja pembersihan hadapan cerucuk tebing dan pemasangan lapisan ‘geotextile’ Gred 50 bagi menahan tanah.
Fauzi juga berkata pihak perunding telah mula menjalan pemantauan lereng selama 24 jam sejak semalam di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).”
“Pagi semalam, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat pemetaan di sekitar kawasan bencana dengan menggunakan alat ‘drone’ untuk mengenalpasti sama ada terdapat punca air yang mengalir ke Taman Idaman”, kata beliau.
Kerja cerapan selesai pada pukul 2.30 petang semalam dan hasil pemetaan awal, pihak JPS tidak menemui petunjuk yang boleh menjadi punca aliran ke Taman Idaman”.
“Bagaimanapun laporan lengkap hasil pemetaan dijangka siap petang ini dan akan dibentangkan kepada pihak JKR bersama laporan oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya lagi.