Foto fail Malaysiaaktif
PUTRAJAYA 28 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kesiapsiagaan kerajaan menghadapi banjir tetap dibuat dalam skala besar walaupun bencana itu dijangka berlaku dalam skala yang kecil.
Beliau berkata, pengalaman berdepan musibah banjir pada 2014 mengajar kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan, terutamanya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) agar lebih bersedia kerana skala bencana itu boleh berubah tanpa diduga.
“Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan banjir kali ini berskala kecil tetapi pengalaman berdepan bencana itu sebelum ini membuatkan kita lebih bersedia.
“Atas sebab itu kita membuat persediaan dalam skala besar seolah-olah banjir besar akan berlaku,” katanya mengulas persediaan kerajaan menghadapi banjir ekoran musim tengkujuh yang akan melanda negara, bulan depan.