
Oleh: Nor Adilah Abdullah (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI , 3 November (Malaysiaaktif) – Aktiviti sukan bukan sahaja merupakan salah satu kaedah untuk mendapatkan kecergasan, malah mampu menggalakkan semua golongan termasuk kanak-kanak untuk kekal aktif dalam melakukan aktiviti berfaedah dan menyihatkan.
Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor, Rajali Mudin berkata demikian ketika merasmikan Sukaneka Muafakat Johor Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2016, di sini, kelmarin.
Tambahnya, memilih aktiviti sukan yang tepat adalah penting bagi memastikan kecergasan kanak-kanak lebih terjamin.
“Aktiviti sukan pada peringkat kanak-kanak amat digalakkan kerana merupakan salah satu cara untuk membentuk dan mencabar daya pemikiran kanak-kanak supaya lebih kreatif.
“Ibu bapa dan guru perlu membekalkan keperluan jasmani dan emosi yang lengkap dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran untuk menjadi insan yang cemerlang pada masa depan,” katanya.
Program yang disertai lebih 500 kanak-kanak dari Tabika Perpaduan, Kota Tinggi ini bertujuan untuk menyemai budaya bersukan dan cintakan kecergasan.
– AH