Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto oleh: Yang Azman
PUTRAJAYA, 2 November (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint (1) hari ini dipilih sebagai sekolah pertama menyertai program ASEAN@yourfingertips yang bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan generasi muda.
Menurut pelajar SMK Putrajaya Presint (1), Muhammad Aqil Danish Zulkifli, 15, ASEAN adalah untuk semua komuniti dan bukan untuk pemimpin-pemimpin negara sahaja.
“Sekarang ini generasi muda banyak tengok telefon dan malas nak tahu tentang apa itu ASEAN, dengan adanya program yang menarik macam ini, diaorang sedikit sebanyak dapat tahu tentang penubuhan ASEAN,” kata Aqil.
Guru Pendidikan Seni, Nur Zaitun Abdullah, 38, berkata, melalui aktiviti-aktiviti seperti melukis mural ASEAN, para pelajar lebih tertarik dan memahami tentang negara-negara ASEAN.
“Dengan adanya penerapan untuk mereka tahu tentang pautan kasih sayang antara negara-negara ASEAN, bantu-membantu, tolong-menolong, semangat itulah yang kita nak daripada rakyat Malaysia, terutamanya anak-anak yang masih dalam didikan sekolah,” jelas Zaitun ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan dalam program pertama yang dinamakan ASEAN@School ini, antaranya pertandingan mewarna, jigsaw puzzle dan kuiz ASEAN.
Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hashim Ismail, berkata, sekolah merupakan platform terbaik untuk menabur pengetahuan kepada generasi muda.
“ASEAN@yourfingertips ini secara tidak langsung mendedahkan pelajar-pelajar ini kepada multimedia, cuba menguasai digital world. Budak-budak ini kalau kita biasakan dengan alam digital ini, kita mengharapkan mereka akan sentiasa mengikuti perkembangan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program ASEAN@School di SMK Putrajaya Presint (1), pagi tadi.
Sebelum ini, kajian oleh sekretariat ASEAN mendapati pengetahuan golongan muda di Malaysia mengenai ASEAN masih rendah iaitu pada tahap 38 peratus berbanding negara-negara ASEAN lain yang sudah mencapai 70 peratus.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ini akan diikuti dengan program ASEAN@School di Sekolah Kebangsaan Datuk Maharajalela, Kuala Selangor pada 8 November, ASEAN@Campus di Kolej Komuniti Selayang pada 16 November dan ASEAN@Community di Pantai Puteri, Melaka pada 20 November.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja.