Oleh Municca Kiat (Sabah)
LAHAD DATU, 20 Nov (Malaysiaktif) – Penganjuran julung kali program Hello Komoditi di Daerah Lahad Datu mendapat penyertaan luar biasa daripada pekebun dan pengusaha ladang yang teruja menyertai program berkenaan di Dewan Tun Mustapha pada Sabtu.
Menurut Penyelaras Program, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Mohammad Ansari Raydien, tentunya sambutan pertama kali ini memberi suntikan semangat kepada kami untuk mengadakannya pada masa akan datang.
“Sokongan daripada pekebun dan pengusaha ladang ini pastinya dapat membantu MPOB dalam usaha meningkatkan hasil, mutu dan kualiti sawit di negara ini.
“Sambutan yang menggalakkan ini memberi keyakinan kepada MPOB untuk mengadakannya pada tahun hadapan kerana sambutan luar jangka ini menunjukkan pekebun dan pengusaha ladang inginkan maklumat dan kemahiran pengurusan ladang yang baik,” ujarnya.
Sementara itu, pekebun kecil Komin Seik, 50, dari Kampung Badai berterima kasih kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Hasrun Datu Mansur atas inisiatif mengadakan program ini yang pertama kali diadakan sejak beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri MPIC.
“Terima Kasih Datuk Datu Nasrun mengadakan program ini terutama apabila program ini melibatkan pelbagai agensi di bawah kementerian terbabit.
“Kehadiran setiap agensi di bawah kementerian itu secara tidak langsung kami dapat pelbagai maklumat dan tunjuk ajar untuk menjadi pekebun dan peladang yang baik.
“Terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh penganjur kerana amat prihatin dengan permasalahan dan beban yang ditanggung oleh pekebun selama ini”, ujarnya lagi selepas ditemui Malaysiaaktif apabila terpilih antara penerima sumbangan dari MPOB.
Bagi Lim Saldak, 51, dari Taman Pertama Satu, program ini dapat membantu saya sebagai pekebun kecil terutama dalam meningkatkan aspek pengetahuan dan kemahiran mengurus tanaman dengan cara yang betul.
“Semoga pelaksanaan program sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang kerana memang baik kepada saya untuk memperoleh ilmu berkaitan penghasilan produk komoditi,” ujarnya.
Pada majlis itu 34 peserta terpilih menerima bantuan perkakasan pertanian daripada MPOB.
–SF