Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Kampung Sejahtera Diperluas Ke Kampung Mundur

By 9 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Zuraidah Ahmad & Mastim Kiriman (Sabah)
KUDAT, 9 Nov (Malaysiaktif) – Program Kampung Sejahtera (PKS) akan diperluas dengan tumpuan khusus kepada kampung-kampung mundur menerusi pendekatan yang lebih holistik.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berdasarkan sambutan positif rakyat, Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 akan terus memperuntukkan kewangan bagi melaksanakan semua projek di bawah PKS.

 

img_6608

Musa ketika berucap merasmikan MESEJ Ternakan Burung Walid dan Pusat Keusahawanan Desa.

“Sejak 2014, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) telah melibatkan 31 buah kampung dalam PKS.

“Bagi 2017, sebanyak 20 buah kampung lagi dirancang untuk terlibat dalam program berkenaan.

“Salah satu pendekatan peningkatan pendapatan golongan sasar di luar bandar ialah melalui aktiviti keusahawanan,” ujarnya.

Tambah Musa, matlamat akhir PKS adalah untuk mentransformasikan kampung-kampung mundur yang melibatkan tiga aspek utama iaitu pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan peningkatkan kualiti hidup.

“Kita yakin pelaksanaan program pembasmian kemiskinan yang efektif akan berupaya mengurangkan lagi insiden kemiskinan tegar di negeri ini.

“Yang penting, rakyat dan para peserta program ini perlu ada keazaman untuk berusaha mengubah keadaan menjadi lebih baik,” katanya ketika merasmikan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Bersepadu Kampung Perpaduan Ria, dekat sini, pada Selasa.

img_6609

Musa menyampaikan replika kunci Bengkel Gerai Keusahawanan Desa.

Bagi MESEJ Bersepadu Kampung Perpaduan Ria, selain penternakan walit, aktiviti keusahawanan juga dilaksanakan melalui Program Pusat Keusahawanan Desa (PKD).

Terdapat empat bangunan telah siap dan akan beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan para usahawan dalam bidang pemprosesan makanan seperti pemprosesan kraf batik, pembuatan coklat, pemprosesan hasilan laut serta pembuatan kek dan bakeri.

Musa (tiga dari kiri) melihat sendiri pemprosesan coklat di PKD Kg Ria.

Musa (tiga dari kiri) melihat sendiri pemprosesan coklat di PKD Kg Ria.

“Kudat mempunyai tiga MESEJ iaitu MESEJ Bersepadu Ternakan Walit Kampung Ria, MESEJ Mikro Kampung Barambangon dengan tanaman getah dan MESEJ Mikro Akuakultur Kampung Tampakan dengan ternakan balat.

“Setakat ini 52 MESEJ pertanian, MESEJ Akuakultur dan MESEJ Mikro telah siap dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah.

“Apabila siap sepenuhnya, projek-projek MESEJ tersebut akan menempatkan lebih 2,500 Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) di negeri ini,” ujarnya lagi.

SF

Tinggalkan komen anda