Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad
KUCHING, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Gelaran ‘Raja Sungai’ menjadi rebutan setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan perahu Sukan Air di Sarawak.
Sarawak Regatta yang dianjurkan kali ke-144 bersemnpena temasya Sukan Air yang bertemakan “Race for Harmony” ini relevan dalam usaha kerajaan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sarawak.
Sarawak Regatta yang berlangsung di Sungai Sarawak, Kuching telah menobatkan Cahaya Zen sebagai Raja Sungai Regatta 2016.
Cahaya Zen mengetepikan perahu-perahu lain dalam perlumbaan akhir dengan muatan 30 orang pengayuh. Mereka menerima hadiah wang tunai RM10 ribu, piala dan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak.
Naib Juara dimenangi oleh Perahu JANG dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Landas kepunyaan Datu Sajeli Kipli, masing-masing menerima hadiah berbentuk wang tunai dan piala.
Sementara itu, Pengurus Perahu Cahaya Zen, Liang Seh Ee,58 berkata saya tidak sangka pasukan kami mendapat juara buat kali kedua sempena Regata Sarawak pada tahun ini.
“Saya berasa gembira sekali kerana pasukan seliaan saya menjuarai kejohanan kali ini kali ini kerana yang saya nampak semua pasukan mempunyai kekuatan dalam kayuhan mereka.
“Dalam perlumbaan kali ini, saya nampak memang paling hebat dari tahun- tahun sebelum ini dan semua pasukan memang berkayuh bermati-matian semasa berlumba. Kebanyakan pengayuh dalam pasukan kami ialah pengayuh import dari Indonesia dan yang selebihnya orang tempatan.
“Untuk merebut Raja Sungai, kami berlatih di Indonesia dan tadi seramai 25 orang pengayuh Indonesia dan lima orang pengayuh tempatan.
Menurut beliau, pengayuh dari Indonesia dibayar gaji dan berlatih di tempat sendiri setiap hari selama enam bulan sebelum pertandingan ini berlangsung.
“Latihan mereka memang diutamakan dan disiplin perlu juga dititikberatkan agar mereka bersungguh-sungguh semasa perlumbaan. Pasukan Indonesia berlatih di Indonesia dan pasukan tempatan berlatih di Sarawak sendiri,” ujarnya lagi.
“Saya sebagai Pengurus pasukan Cahaya Zen selama setahun lebih nampak kerjasama dalam pasukan kami amat baik sekali. Walaupun saya tinggal di Singapura dan semasa latihan saya akan sentiasa turun ke Sarawak dan ke Indonesia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Perahu JANG, Norhaslinda Jonny berkata pasukannya tidak akan berputus asa untuk mendapat gelaran Raja Sungai pada masa akan datang.
“Pasukan kami akan lebih giat berlatih dan berusaha menggunakan pelbagai teknik kayuhan serta mementingkan kekuatan tenaga. Walupun gagal menjuarai tapi namun semangat sukan dan semangat berpasukan tetap ada,” katanya semasa ditemui, petang semalamdi pentas regata di tebingan Kuching.
Lebih kurang 7000 orang datang menyaksikan Sukan Air Regattas Sarawak 2016 yang bermula pada Jumaat dan berakhir semalam.
-SF