Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Dedahkan Anak OKU Dengan Dunia Sebenar

By 21 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Seorang ibu dari Bukit Beruang, di sini merasa seronok dapat meluangkan masa bersama anak bongsunya, Mohd Nasrullah Roslan, 13, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) melakukan aktiviti riadah dalam Program #ASEAN@Community di Pantai Puteri, semalam.

Selain menyertai senaman zumba, Noraini Bakar, 50, turut menyertai pertandingan mewarna batik canting yang merupakan antara aktiviti yang disediakan selain bermain congkak, pertandingan kuiz ASEAN dan juga karaoke.

2

“Saya memang sering bawa anak bongsu saya ini setiap kali saya beriadah bersama kawan-kawan. Tujuan saya adalah supaya dia dapat bergaul dengan orang ramai dan sama-sama ikut beraktiviti untuk memberi pendedahan kepada dia,” ujarnya.

Program #ASEAN@Community 2016 anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat di Malaysia berkaitan negara-negara ASEAN dalam aspek sosiobudaya, sosiopolitik, ekonomi, sistem pentadbiran dan adat resam dan kepercayaan.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, program outreach pendidikan ini adalah sangat baik untuk masyarakat kerana dapat memperkenalkan rakyat Malaysia khususnya rakyat Melaka akan negara-negara jiran.

6

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ketika merasmikan program #ASEAN@Community di Batu Berendam, Melaka.

“Contohnya kita lihat dalam sebuah negara seperti Thailand, kita kena tengok apa punca pendapatan negara mereka manakala di Myanmar, kita baca banyak berlaku pasal penghapusan etnik, kita kena tahu apa masalahnya di Myanmar ni,” kata Abu Bakar selepas merasmikan program tersebut.

Tambahnya, sangat penting kepada negara untuk mengekalkan tahap pengetahuan dari segi Geografi dan Pengetahuan Am juga perlu distabilkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terkenal.

“Jadi saya tengok dari pameran yang dianjurkan ini adalah suatu usaha yang perlu diteruskan dari semasa ke semasa dan saya ucapkan tahniah kerana inisiatif JaPen untuk menjelajah seluruh negara, dan kali ini giliran Tangga Batu, ini adalah satu pendekatan yang sangat baik,” katanya lagi.

7

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu turut mengecam Perhimpunan Bersih 5.0 yang berlaku, pada Sabtu lalu.

“Masa saya kecil dulu, saya diajar oleh cikgu saya bahawa demonstrasi adalah satu suara yang kuat yang tidak didengari orang. Tiada manfaat pun kepada masyarakat. Kenapa harus menyusahkan masyarakat?,” soalnya.

Jelasnya, masyarakat memerlukan satu cara hidup yang baik dan perlu ada tatasusila negara dan Malaysia mempunyai sistem demokrasi yang tersusun yang perlu diikuti.

“Kalau nak rampas kerajaan, ada caranya, iaitu berkempen melalui pilihan raya. Ini adalah perkara terbaik untuk masyarakat. Bagi saya, perhimpunan Bersih yang diadakan adalah satu cara yang sia-sia dan perlu dielakkan,” tegasnya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda