Skip to main content
Home

Xpress Air Kembali Lagi Ke Melaka

By 21 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Syarikat penerbangan hibrid Indonesia, Xpress Air yang dilancarkan April lalu kemudian menghentikan operasi lebih dua bulan kini memulakan kembali penerbangan dari Pekanbaru, Riau, Indonesia ke negeri ini.

Menurut Pengarah Komersial Xpress Air, Swandono Poernomo, syarikat itu terpaksa menghentikan penerbangan ke Melaka sebelum ini kerana harus membuat beberapa penambahbaikan.

“XpressAir perlu melaksanakan beberapa penyelarasan, malah, sehingga ke hari ini pun kita masih membuat penambahbaikan dan meneliti kerana ada beberapa perkara yang berlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ketibaan penerbangan semula Xpress Air dari Pekanbaru ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, di sini, semalam.

Tambah Swandono, sokongan yang tidak berbelah bahagi yang diberikan sejak awal penerbangan Xpress Air termasuk semasa terpaksa dihentikan sementara, membuatkannya terharu, namun, hari ini mereka kembali semula dengan bersemangat.

Pesawat Dornier 328 yang membawa seramai 15 penumpang itu disambut EXCO Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong.

3

EXCO Pengangkuran, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong menyambut ketibaan 15 orang penumpang Xpress Air menggunakan pesawat Dornier 328 dari Pekanbaru, Riau, Indonesia ke Melaka.

 

Mengulas lanjut, Swandono berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan beberapa lokasi lain dari Indonesia ke negeri ini dalam merancakkan kembali jalinan kerjasama dalam sektor pelancongan kesihatan antara Indonesia-Melaka.

Xpress Air turut melakukan penerbangan transit melibatkan tiga destinasi iaitu Palembang, Lampung dan Tanjung Pinang, Indonesia bagi laluan ini. Malah, mereka juga dalam perancangan membuat penambahan lokasi lagi.

“Kita juga sedang berusaha untuk membuat penerbangan lebih awal dari jadual biasa agar para penumpang boleh ada banyak waktu untuk melakukan segala hal terutamanya pesakit yang membuat rawatan di sini,” jelasnya.

2

Datuk Lim Ban Hong bersama kru pesawat Xpress Air.

 

Sementara itu, Ban Hong berkata operasi Xpress Air ini memberi kesan positif terhadap industri pelancongan Melaka terutamanya sektor pelancongan perubatan dalam tempoh jangka panjang.

“Dari April hingga Ogos lalu sahaja jumlah penumpang Xpress Air ke LTAM seramai 3,366 orang dan itu sebenarnya merupakan satu angka yang cukup baik. Harapnya penerbangan ini akan berjaya dan seterusnya menambah bilangan pelancong ke sini,” ujarnya.

Tambah Ban Hong, statistik kedatangan pelancong yang datang ke LTAM dari awal tahun hingga bulan ini adalah seramai 51,230 orang.

“Angka tersebut dijangka meningkat tahun hadapan dengan sasaran 100,000 orang dengan sebanyak tiga syarikat penerbangan yang menggunakan LTAM,” katanya.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda