Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Sikap Faktor Kadar Peningkatan Kemalangan Jalan Raya

By 22 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan dan foto oleh Mohamad Zairin Mohamad Zin & Jaitripta Kaur Gajit Singh (Shah Alam)

SHAH ALAM, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Sempena Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya yang disambut di seluruh dunia pada setiap Ahad minggu ketiga bulan November setiap tahun, satu wacana bertajuk “Pusara di Jalan Raya : Sampai Bila?” telah diadakan Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Antara ahli panel yang terlibat dalam wacana ini adalah Timbalan Pengarah JSPT (Penguatkuasaan Kawalan/Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, bekas pelumba Grand Prix, Shahrol Yuzy, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Prof.  Madya Dr. Khulanthayan KC Mani, serta artis jemputan, Mohd Nasir Hamzah @ Achey, dan moderatornya, Haji Nazri Kahar.

Sebahagian peserta yang hadir

Sebahagian peserta yang hadir

 

Antara isu yang dibangkitkan ialah sejauh mana disiplin dan sikap pengguna jalan raya di Malaysia dan apakah penyelesaian yang ada untuk kita mengubah sikap masyarakat yang tidak mematuhi undang-undang di jalan raya ini.

“Kalau kita lihat pada angka kemalangan di Malaysia, satu hari tidak kurang 18 kematian direkodkan. Dalam masa lima tahun, angka kematian mencecah 40,000 orang,” jelas Asisten Komisioner Ruslan Khalid.

“Punca kemalangan antaranya adalah sikap manusia dan juga masalah teknikal. Bukan senang untuk membentuk sikap masyarakat namun kita percaya kesedaran masyarakat boleh diubah dan ia bergantung kepada pengguna jalan raya itu sendiri.

“Kalau tidak mahu berubah, pihak berkuasa akan ambil pendekatan ‘paksa’ pemandu untuk berubah dan menyedarkan mereka tentang risiko terhadap kemalangan jalanraya,” tegas Ruslan lagi.

Menurut Shahrol Yuzy, menjadi pemandu yang berdisiplin merupakan kunci utama kepada keselamatan diri.

“Saya minat kelajuan tapi dalam masa yang sama berlumba itu buatkan saya lebih berdisiplin. Disiplin itu hadir daripada kita sendiri, macam mana kita memandu, macam mana nak hormat orang dan pihak berkuasa.

Sementara itu, menurut Prof. Madya Dr. Khulanthayan KC Mani, penggunaan pengangkutan awam tidak seharusnya dipandang sepi oleh masyarakat.

“Masalah utama negara kita adalah bilangan penduduk dan kenderaan yang terlalu banyak di mana pertumbuhan penduduk hanya 2% manakala kenderaan pula sebanyak 6%. Untuk mengurangkan jumlah kenderaan dan kemalangan, penduduk perlu digesa menggunakan pengangkutan awam.

“Dengan penggunaan pengangkutan awam, ianya akan dapat mengurangkan jumlah kemalangan dan rekod kematian.

“Sasarkan pendidikan dan pencegahan seawal usia kerana ianya dapat membantu kanak-kanak untuk memahami bahaya serta risiko kemalangan jalanraya dan secara tidak langsung turut memberi kesedaran kepada ibu bapa,” ujar Dr. Khulanthayan.

Wacana ini dihadiri lebih kurang 250 hadirin termasuk para wakil media-media tempatan.

 

-SH

Tinggalkan komen anda