Salleh (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang ahli AIM.
Oleh Ahmad Shaid Jibal & Shahvian Muhammad Razali (Sabah)
KOTA BELUD, SABAH, 18 Disember (Malaysiaktif) – Para ahli Amanah Iktiar Malaysia (AIM) digesa memanfaatkan pinjaman untuk mengembang dan meningkatkan lagi sumber ekonomi agar terkeluar dari kepompong kemiskinan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr.Mohd Salleh Said Keruak berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada usaha tersebut menerusi penyaluran peruntukan setiap tahun.
“Ahli-ahli AIM perlu meningkatkan lagi kemahiran untuk meningkatkan ekonomi kerana ‘digital economy’ atau perniagaan digital akan dilaksanakan bermula tahun depan.
“Jenis perniagaan sekarang telah berubah, para peniaga berurus niaga atas talian internet bagi memasarkan produk mereka.
“Untuk mewujudkan pasaran mesti ada pembeli, untuk mencapai kejayaan kita harus berusaha membentuk pasaran.
“Setiap hari kita harus berfikir bagaimana untuk meluaskan pasaran dan terus maju ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Peringkat Pantai Barat Sabah.
Beliau mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Dewan Terbuka Datuk Musbah di Kg. Taun Gusi, pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Musa memuji dan berbangga terhadap kejayaan agensi tersebut yang telah mendapat pengiktirafan dunia.
“Sehingga kini AIM telah menerima sumbangan RM16.5 billion daripada kerajaan.
“Pada tahun lepas sahaja, AIM menerima peruntukan melalui belanjawan untuk tahun ini sebanyak RM100 juta.
“AIM memberikan pembiayaan RM124 juta kepada ahlinya seramai 3,720 peminjam di daerah ini dan menyasarkan memberikan peruntukan RM20 juta kepada para ahlinya.
“Tahap pembayaran balik di Kota Belud juga adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu mencapai tahap 99.76 peratus,” ujarnya.
Pada majlis itu, Salleh bersetuju memberikan sumbangan kepada Kelab Usahawan Kota Belud sebanyak RM70,000 dan Kerajaan Negeri dengan jumlah RM80,000.