Musbah(tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Sirhajwan dengan disaksikan oleh Pengerusi K1M Kg.Tamau Hj.Roslan Hj.Mansur.
Oleh Sharif Ahmad Shah Sh.Mundui (Sabah)
KOTA BELUD, 29 Dis (Malaysiaktif) – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Perumpamaan tersebut sesuai diberikan kepada seorang anak jati dari Daerah Kota Belud, Mohd Sirhajwan Idek apabila tersenarai ‘Top 50, Global Teacher Prize 2017’.
Pengumuman penganugerahan ‘Global Teacher Prize 2017’ akan dilangsungkan di ‘Global Education and Skills Forum’ pada 19 Mac 2017 tahun depan di Dubai.
Bertugas sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Mohd Sirhajwan melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama terpilih sebagai finalis guru global tersebut.
Sirhajwan yang dicalonkan menerusi laman web www.globalteacherprize.org, berkata tugas sebagai pengajar adalah sangat mencabar terutama mengajar di luar bandar (pedalaman).
“Mengajar di luar bandar adalah suatu yang mencabar terutama faktor dari segi sosioekonomi penduduknya di mana para pelajar adalah berlatar belakang penduduk yang susah.
“Selain itu, kekurangan dari aspek pengetahuan akibat kurangnya pendedahan terhadap perkembangan dunia luar turut mempengaruhi pemikiran pelajar terbabit,”Katanya semasa ditemui Malaysia Aktif pada program Jom Kembali Ke Sekolah, di Kampung Tamau pada rabu.
Mohd Sirhajwan memperoleh PhD UiTM Shah Alam, diiktiraf oleh Macmillan United Kindom selaku penganjur ‘Teacher at my heart’ sebagai seorang dari lima orang pemenang global dihatiku.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Inggeris dan Ijazah Sarjana Muda bidang Kajian di UiTM Shah Alam ini mengalahkan seramai 20 ribu pencalonan guru dari 179 negara yang menyertainya.
Pertandingan antarabangsa ini menawarkan hadiah lumayan di mana pemenang akan membawa balik hadiah wang berjumlah AS$1 Juta (RM4.42 juta).
Katanya lagi, penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar adalah lebih rendah.
“Sebagai seorang guru yang dipertanggungjawabkan perlu lebih sabar dan bersikap positif jika ingin berjaya.
Kecekalan dan sikap dedikasi beliau berjaya mentransformasikan sekolahnya berkenaan ke fasa baharu apabila sekolah terbabit berjaya mendominasi pertandingan bahasa Inggeris yang dianjurkan pada pertengahan tahun ini.
Selain aktif dalam kokurikulum bahasa Inggeris, penulisan bahan mengajar, beliau juga sering diundangkan bagi membentangkan kajian, kaedah pengajaran, penerbitan artikel ilmiah serta pertandingan inovasi di persidangan antarabangsa yang dianjurkan.
Atas kejayaan dan kecemerlangan anak jadi Kota Belud ini beliau turut menerima penghargaan berupa wang tunai RM3,000 dari UMNO Bahagian Kota Belud menerusi Biro Pendidikan UMNO daerah berkenaan .
Penghargaan disampaikan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah merangkap Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Dato’ Hj.Musbah Hj.Jamli, di Program Jom Kembali ke Sekolah anjuran Biro Pendidikan UMNO Kota Belud dan Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung Tamau.