Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Balu Pegawai JPJ Teruskan Kehidupan Setelah Tragedi Berlalu

By 9 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

BUKIT RAMBAI, 9 Dis (Malaysiaaktif) – “Memang baik perancangan Allah kerana ditentukan kehidupan kami sebegitu seolah-olah supaya saya terbiasa dengan ketiadaan arwah dengan kami setiap hari, sekarang ini pun saya anggap dia hanya pergi bekerja walaupun sebenarnya dia dah tiada.”

Isteri pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang maut digilis treler ketika menjalankan operasi pada 22 November lalu, Siti Anida Lihat, berkata demikian ketika ditemui Malaysiaaktif, semalam.

Katanya, sebelum ini dia memang tinggal berjauhan dengan arwah suami, Mohd Ridzuan Yusoff, 34, yang bertugas di Shah Alam dan arwah hanya akan kembali bersama-sama dia dan anak perempuan mereka berumur empat tahun setiap dua minggu sekali.

Tambahnya, dia kini perlu memulakan semula kehidupan mereka dengan belajar dan mengambil lesen memandu untuk memudahkannya menguruskan keluarga kelak.

“Tahun hadapan anak dah mula sekolah, namun segala persiapan belum dimulakan kerana masih banyak urusan arwah perlu dilakukan seperti pencen dan sebagainya. Kalau perlu bekerja pun, saya akan usahakan untuk membuat perniagaan online sebab anak tidak suka orang lain jaga dia,” jelasnya.

Baru-baru ini, Siti Anida yang kini hamil enam bulan, disahkan bakal memperoleh anak kembar dan dia berharap hasrat arwah untuk menimang anak lelaki bakal menjadi kenyataan.

Dia yang kelihatan semakin tenang berkata akan menetap di rumah kakak kandungnya di Seremban sehingga berpantang kerana tidak ingin menyusahkan keluarga mertua sementelah kediaman kakaknya sangat berhampiran dengan Hospital Seremban.

“Saya akan kembali ke kediaman kami di Taman Paya Emas selepas berpantang kerana itulah rumah peninggalan arwah yang dibelikan untuk kami. Dan saya akan menjaga rumah tersebut sebab banyak kenangan kami bersama arwah,” katanya.

Siti Anida ditemui dalam Program Ziarah, Bacaan Yassin dan Tahlil bersama Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Melaka (BISTARI) di Rumah Awam 2, Bukit Rambai lewat petang semalam.

Sementara itu, Pengerusi BISTARI, Datuk Fadilah Abdullah berkata, pihaknya akan berterusan menyalurkan sumbangan sebagai tanda sokongan terhadap Siti Anida yang sedang sarat mengandung.

“Kita akan minta pertolongan dari kerajaan negeri dari bahagian kebajikan untuk turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung Siti Anida,” jelasnya.

Tambahnya, BESTARI akan terus menghulurkan sumbangan terhadap individu yang ditimpa musibah terutamanya ibu tunggal dan anak yatim.

“Ia tanggungjawab kita, kita akan turun padang beri bantuan. Program bantuan kepada rakyat ini sudah berada dalam jiwa kami dan dalam masa yang sama menyelami kehidupan mereka.
“BISTARI dulu, kini dan selamanya akan terus memperjuangkan nasib ibu tunggal dan anak yatim yang memerlukan bantuan, kita cuba usahakan,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda