Skip to main content
Home

Banjir: Lapan Jalan Di Terengganu Ditutup

By 31 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Anggota Bomba dan Penyelamat menyelamatkan dua remaja yang cuba meredah arus deras untuk keluar dari rumah mereka yang dinaiki banjir di di Kampung Kolam pada 31 Disember 2016. – Foto: BERNAMA

 

KUALA TERENGGANU, 31 Dis — Sebanyak lapan jalan di tiga daerah di Terengganu ditutup pagi tadi akibat banjir, kata Urusetia Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Beliau berkata di Hulu Terengganu, empat jalan ditutup kepada semua kenderaan mulai pukul 10 pagi tadi setelah dinaiki air lebih 0.5 meter manakala Jalan Bukit Perah-Kuala Kejir di Kampung Jak ditutup kepada kenderaan ringan.

Empat jalan tersebut ialah Jalan Aring-Kuala Jeneris di Kampung Basung (0.5 meter), Jalan Tapah di Kampung Kepah (0.5 meter), Jalan Matang-Kuala Telemong di Kampung Nibong (0.7 meter) dan Jalan Kuala Pueh-Tapah-Payang Kayu-Baung-Kuala Ping (0.8 meter), katanya.

Beliau berkata di daerah Setiu pula, dua jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan setelah dinaiki air lebih 0.6 meter.

“Jalan Pengkalan Merbau-Pelong berdekatan Kampung Pelong Kepah dinaiki air setinggi 0.8 meter ditutup mulai pukul 9.30 pagi tadi.

“Jalan Chalok Bukit Putera-Telaga Papan berdekatan Kampung Lubuk Panjang yang dinaiki air setinggi 0.6 meter pula ditutup mulai pukul 11 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Selain itu, satu jalan utama ke Hulu Besut iaitu Jalan Jertih-Pasir Akar-Keruak di Kampung Jerubung turut dinaiki air setinggi 0.5 meter dan ditutup kepada semua kenderaan ringan mulai 12.30 tengah hari Sabtu.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berkata orang ramai perlu mengikut jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

“Jalan utama ke Pahang dan Kelantan juga masih boleh dilalui termasuk menggunakan jalan pantai dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2).

“Ada jalan pantai dinaiki air di Merchang, Marang pada awal pagi tadi namun setakat ini ia sudah boleh dilalui setelah air surut dengan cepat di kawasan itu,” katanya.

 

http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2016/12/31/banjir-jalan-tutup/

Tinggalkan komen anda