Laporan oleh Nur Shafira Mat Hussin
PASIR PUTEH,3 Disember 2016 (Malaysiaaktif) — Lima sekeluarga kumpulan penduduk pertama dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Bukit Yong di sini.
Mereka terdiri daripada 26 orang lelaki dan wanita dewasa, 14 kanak-kanak dan dua orang orang bayi .
Mangsa banjir dari Kampung Tasek, Bukit Awang mula dipindahkan semalam selepas solat Jumaat berikutan laporan daripada Pentadbir Mukim Kawasan Bukit Awang yang mendapati air semakin melimpah memasuki rumah mangsa.
Justeru itu operasi menyelamat mangsa banjir dimulakan dengan kerjasama petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah Pasir Puteh.
Tinjauan Malaysiaaktif ke kawasan kampung yang dilanda bencana banjir mendapati hampir keseluruhan parit serta sungai yang berdekatan dilimpahi air melebihi paras biasa.
Menurut seorang penduduk ,Mohd Rahim Awang, 50, kawasan Kampung Tasek merupakan antara kawasan dinaiki air berikutan limpahan dari Sungai Jerteh dan sebuah tasik berdekatan.
Tambah beliau lagi, kedudukan kawasan perkampungan di mana lima sekeluarga terbabit tinggal memudahkan keadaan terkesan.
Kemaskini maklumat di laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada pada pukul 5.00 petang tadi mencatatkan penurunan paras air di Sungai Semerak, Pasir Puteh dan kini berada di paras normal.
Walau bagaimanapun, pihak jawatankuasa bencana daerah sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga dalam menghadapi sebarang keadaan.