Skip to main content
Berita TempatanSabah

Go Velens Go! Pacu Wong Keliling Sabah 11 Hari 

By 17 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan
Victor (berbasikal kanan) dan Velens (berbasikal kiri) semasa tiba di perkarangan Ibu Pejabat DBKK petang Jumaat.

 

Oleh Asmidar Zainol (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Disember (Malaysiaktif) – Go Velens Go! itu kata-kata semangat yang diberikan oleh Victor Wong, 53, kepada anaknya Valens Victor Wong, 19 untuk meneruskan kayuhan mengelinging Sabah selama 11 hari.

Menurut Valens, bapanya banyak membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang kayuhan merentasi 33 daerah di negeri ini.

“Saya hampir-hampir berputus asa ketika melalui laluan berbukit terutamanya ketika melalui laluan Ranau. Kata-kata semangat dan dorongan dari ayah dan pesanan ibu yang diterima melalui aplikasi Whatapps banyak membantu dari segi ketahanan mental saya.

Pelajar jurusan Teknologi Elektrik, Kolej Vokasional Likas tersebut merupakan salah seorang peserta Program Berbasikal Bebas Dadah & Sampah 1Sabah 1Malaysia anjuran bersama Dewan Bandar raya Kota Kinabalu, Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Agensi Antidadah Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, bapa Valens merangkap ketua Ekspedisi, Victor Wong memaklumkan, ekspedisi berkenaan mendapat kerjasama yang amat menggalakkan daripada pegawai-pegawai daerah dan masyarakat tempatan.

“Sepanjang perjalanan, kami mendapat kerjasama yang baik daripada pegawai-pegawai daerah dan masyarakat tempatan dengan menyambut ketibaan kami dan juga menyediakan tempat tinggal kepada peserta ekspedisi,” katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya apakah cabaran yang dihadapi sepanjang ekspedisi tersebut, Victor berkata perjalanan yang berbukit bukau terutamanya di Sipitang merupakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh mereka.

“Jalan dari Sipitang ke Tenom benar-benar mencabar keupayaan kami kerana laluannya yang berbukit dengan berketinggian lebih kurang 13 meter. Tanpa latihan secukupnya boleh memberi tekanan dan mengakibatkan peserta ekspedisi berputus asa meneruskan perjalanan.

“Syukur kepada tuhan, kami bertiga dapat menempuh laluan tersebut walaupun terpaksa berhenti beberapa kali untuk menghilangkan lelah dan dahaga,” ujarnya.

Tambah Victor, cabaran lain yang dihadapi oleh mereka adalah dari segi cuaca panas dan hujan serta dari sudut keselamatan peserta.

“Cuaca yang tidak menentu juga memberi tekanan kepada kami. Kami tetap meneruskan perjalanan walaupun ketika cuaca hujan bagi mengelak daripada kelewatan masa.

“Selain itu, kami juga amat risau mengenai keselamatan ketika mengayuh basikal kerana harus melalui laluan yang sama dengan kenderaan-kenderan berat dan besar seperti lori trak, lori trailer dan lori tangki.

“Bagi membantu dalam aspek keselamatan dan teknikal, kami berterima kasih kepada Persatuan Sabah Amature Radio yang sentiasa menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan sehingga ekspedisi ini tamat,” kongsinya dengan pemberita.

Bagi seorang lagi peserta, Saiful Bahari Kanoda,38, walaupun beliau pernah membuat kayuhan solo mengelingi Sabah, ekspedisi ini tetap memberi cabaran yang berlainan kerana perlu sentiasa berkerjasama dalam kumpulan dan melalui perjalanan yang berlainan daripada ekspedisinya sebelum ini.

Ekspedisi tersebut membawa mereka bertiga dari Kelab Berbasikal DBKK ke 33 daerah seluruh Sabah dengan jarak 2,190 kilometer bagi membawa mesej, “Bebas daripada Sampah, Dadah dan Rasuah” bermula sejak 6 Disember lepas.

Ketibaan mereka di perkarangan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disambut oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Karuna’nity Y. Sub’biah,  Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra serta ketua-ketua jabatan DBKK.

 

Tinggalkan komen anda