Skip to main content
GlobalHome

Serangan Luar Stadium Turki Mungkin Angkara Militan Kurdish

By 11 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

ISTANBUL, 11 Dis — Turki pada Ahad berkata, kumpulan militan Kurdish mungkin bertanggungjawab terhadap dua pengeboman di luar stadium di sini, Sabtu malam, yang mengorbankan 29 orang dan mencederakan 166 yang lain.

Serangan yang berlaku pada Sabtu malam itu melibatkan sebuah kereta yang diletupkan di luar Stadium Arena Vodafone selepas perlawanan bola sepak Liga Turki antara Besiktas menentang Bursaspor.

Walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab mengakibatkan serangan itu, tetapi Timbalan Perdana Menteri, Numan Kurtulmus berkata, petunjuk awal merujuk kepada kumpulan Parti Pekerja Kurdish (PKK) yang menjalankan pemberontakan bersenjata sejak tiga dekad.

Beliau berkata, 10 orang ditahan setakat ini.

“Kita merujuk kepada PKK. Satu pengumuman akan dibuat sebaik sahaja siasatan selesai.

“Kita tidak boleh memaklumkan apa-apa yang pasti buat masa ini,” kata Kurtulmus kepada penyiar CNN Turk dalam satu wawancara.

Beliau berkata, sekutu Turki perlu menunjukkan solidariti dengan memerangi keganasan.

Pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan berkata, bendera akan dikibarkan separuh tiang dan diisytiharkan hari berkabung buat negara itu pada Ahad.

Ia berkata, Presiden, Tayyip Erdogan membatalkan lawatannya ke Kazakhstan.

Menurut kenyataan itu, Erdogan menyifatkan letupan itu sebagai serangan pengganas terhadap polis dan orang awam.

Beliau berkata, pengeboman yang berlaku dua jam selepas berakhirnya satu perlawanan yang dihadiri ribuan orang menyebabkan jumlah mangsa meningkat.

 

– Reuters

Tinggalkan komen anda