
Laporan/ Foto oleh Herman Hamid
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Malaysiaaktif) — Bantuan bagi membantu masyarakat etnik Rohingya yang dimangsakan dan dizalimi oleh tentera kerajaan Myanmar disekat daripada masuk ke negara itu.
Bagi mengatasi kekangan ini Agensi Bantuan Malaysia (MRA) telah membuka sebuah pusat di Yangon bagi membolehkan bantuan sampai kepada penduduk Rohingya di wilayah Arakan negara itu. Bantuan yang dibekalkan termasuk pelbagai keperluan asas dan bantuan kewangan.
Dalam sidang media Tabung Bantuan Kemanusian Rohingya yang diadakan hari ini, Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kecik berkata, “Buat masa ini kutipan derma bagi tabung tersebut berjumlah RM50,000 ribu dan akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan aktivisi Rohingya di Myanmar bagi tujuan itu.”

Datuk Dr Abdul Razak Kechik dan Dr Shahrizal Azwan Samsudin bersama kakitangan MRA menderma secara simbolik kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya.
Beliau berkata aktivis yang membantu masyarakat etnik Rohingya di Myanmar termasuk sami Buddha dan kaum-kaum etnik lain di negara itu.
Tambah Dr. Abdul Razak, “Larangan membawa masuk bantuan kemanusiaan, seperti bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas ke Arakan amat mendukacitakan.”
“Ini jelas menafikan hak kemanusiaan penduduk Rohingya yang terus menerus ditindas seolah-olah ada perancangan rapi untuk melenyapkan terus etnik tersebut di bumi Myanmar”, tegas beliau.
Menurut beliau, setakat ini pemusnahan sejumlah 16 buah kampung di Utara Maung Daw, Arakan oleh tentera Myanmar telah menyebabkan lebih 30,000 etnik Rohingya terpaksa menjadi pelarian di bumi sendiri.

Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin (kiri) danPresdien MRA, Datuk Dr Abdul Razak Kechik (kanan) semasa sidang media Tabung Bantuan Kemanusian Rohingya hari ini.
“Pintu sempadan yang paling hampir ialah Bangladesh, namun ianya sudah tertutup buat etnik Rohingya dan jalan keluar melalui laut seolah-olah ibarat jalan mati” tambah beliau.
Sementara itu, Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin pula berkata, “MRA turut terlibat dalam kerja-kerja membantu pelarian Rohingya, terutama di Malaysia dengan menubuhkan sekolah rendah bagi kira-kira 100 orang pelajar masyarakat etnik itu di Cheras Baru, Kuala Lumpur dan menjalankan pemeriksaan kesihatan serta pergigian kepada mereka.”
Katanya, “MRA juga memberikan bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di kem-kem tahanan imigresen di utara Malaysia dengan kerjasama Pesuruh Jaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang-orang Pelarian (UNHCR) dan pelbagai agensi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain.”
Bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada pelarian Rohingya, MRA menyeru rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan dengan cara menyumbang kepada TABUNG BANTUAN KEMANUSIAAN ROHINGYA atas nama MALAYSIA RELIEF AGENCY, nombor Akaun Maybank 5640 9820 6365.
MRA menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM500,000 untuk disalurkan kepada pelarian Rohingya di Myanmar.
Maklumat lanjut mengenai gerak kerja operasi bantuan di Arakan, Myanmar boleh didapati daripada Sekretariat MRA di talian 03-91744672 atau Facebook MRA : Malaysia Relief Agency.
Sidang Media hari ini yang diadakan di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru.