Skip to main content
Home

Pilihan Raya Umum Ke-14 Tidak Lama Lagi – Najib

By 1 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Foto: Aziz A.Shariff

 

KUALA LUMPUR, 1 Dis  — Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal tiba tidak lama lagi, kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menguatkan lagi kenyataan beliau itu, Najib berkata Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini adalah untuk para perwakilan menerima amanat dan pesanan sebagai persiapan bertempur di medan juang PRU14.

Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang bakal berakhir pada Jun 2018.

Walaupun tidak menyatakan bila pilihan raya itu akan diadakan, perdana menteri berkata PRU14 akan menjadi penentu sama ada keindukan kerajaan pimpinan UMNO dikekalkan atau rakyat memilih kerajaan baharu yang diterajui DAP.

“Kalaulah orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mimpi ngeri yang bakal melanda hidup mereka, saya yakin mereka akan berpaut seteguh-teguhnya kepada UMNO, sebagai satu-satunya parti yang mampu membela nasib anak cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.

Najib berkata kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan menyuntik semangat kejayaan besar BN pada PRU14 nanti.

Dalam ucapan dasar yang disampaikan secara berterus-terang dan matang itu, Najib yang bercakap sebagai seorang Melayu, seorang Islam, seorang bumiputera dan seorang anak Malaysia, telah membakar semangat para anggota UMNO untuk bersiap sedia meraih kemenangan BN pada PRU14.

Perhimpunan Agung UMNO 2016 dihadiri 2,643 perwakilan dari 191 bahagian.

Setakat semalam, keanggotaan UMNO telah mencecah 3,577,719 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,653.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda