Skip to main content
EkonomiHome

Hak Rakyat Nilai Kejayaan Lawatan Kerja Ke China – TPM

By 15 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Foto: Bernama

 

KUNMING (Wilayah Yunnan, China), 15 Jan — “Puas hati atau tidak – itu bukan hak saya, tapi hak rakyat Malaysia selepas membaca laporan anda daripada pihak media,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Demikian reaksi spontan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa ditanya jika beliau berpuas hati dengan lawatan kerja enam hari ke China, yang akan berakhir hari ini.

Katanya jika lawatan kerja keluar negara berkaitan usaha membawa pelaburan ke dalam negara, keberkesanan atau kepuasan hati mungkin boleh disimpulkan menerusi angka-angka pelaburan, namun jika dari segi keselamatan, perkara itu agak sukar untuk dinilai.

Lawatan kerja enam hari yang bermula sejak Selasa lepas atas jemputan Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun itu menyaksikan Ahmad Zahid memenuhkan tempoh di Beijing dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan beberapa pemimpin di sana dan diikuti dengan perjumpaan serta lawatan berbentuk pengendalian di Kunming, Wilayah Yunnan, China.

Selain Guo, turut ditemuinya semasa di Beijing adalah setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat Parti Komunis China, Meng Jianzhu serta presiden Interpol Meng Hongwei, manakala di Kunming selain mengadakan pertemuan dengan Gabenor Wilayah Yunnan, Ruan Chengfa, dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Awam China, Guo Bao, beliau turut melawat Kolej Polis Yunnan.

Hampir setiap perbincangannya dengan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan China akan disusuli dengan perjumpaan dengan media Malaysia, bagi membolehkan beliau memaklumkan perkembangan, atau apa-apa kesimpulan yang disepakati dalam perbincangannya untuk makluman umum.

Dari sudut ekonomi, Ahmad Zahid turut menyentuh isu berkaitan potensi untuk sektor pengiktirafan barangan halal di China, terutama di wilayah Yunnan ini, yang menurutnya berpotensi besar untuk diterokai oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Menerusi pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Yunnan juga, beliau yang mengenal pasti beberapa masalah usahawan dari wilayah itu untuk membawa masuk barang dagangan mereka ke dalam negara ekoran Malaysia-China belum menandatangani sebarang perjanjian FTA; dengan pantas memberitahu bahawa pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia akan mengambil inisiatif bagi menanganinya.

Dari sudut pelancongan, beliau berusaha gigih untuk mendapat maklum balas dari pihak China, untuk melihat apa lagi yang boleh dilakukan bagi memudahkan kehadiran pelancong dari negara Tembok Besar itu ke dalam negara.

Maklum balas yang diperoleh cukup memberangsangkan, apabila angka-angka yang diperolehnya menunjukkan jumlah kemasukan pelancong dari China dilihat melonjak dengan ketara sejak beberapa inisiatif seperti kemudahan pengecualian visa atau kemudahan ENTRI (Pendaftaran pelancongan elektronik) diperkenalkan hampir setahun lalu.

Pada majlis makan malam di hujung lawatannya, Ahmad Zahid tidak lupa menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal di China untuk mengenepikan sebarang perbezaan, dan sama-sama memikul tanggungjawab menjadi ‘duta’ negara, bergerak maju seiring dengan kepesatan pembangunan China, demi negara.

Dari sudut keselamatan; menerusi beberapa kenyataannya, Timbalan Perdana Menteri dilihat jelas mengagumi beberapa kejayaan China dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, dan menurutnya ia boleh dikongsi dan diteladani Malaysia.

Katanya China turut menghadapi beberapa isu keselamatan yang hampir sama dengan China, seperti gejala penyalahgunaan dadah, isu-isu keganasan dan juga usaha menurunkan kadar jenayah.

Beliau yang menyambut baik kesanggupan China untuk berkongsi pengalaman dan melakukan pemindahan teknologi dalam usaha-usaha mengawal keselamatan terutama di sempadan negara, menetapkan akan menghantar sekumpulan pegawai dari Majlis Keselamatan Negara untuk menjalani latihan di China.

Menurutnya pegawai ini akan meninjau tatacara prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa China dalam mengawasi sempadan negaranya, dan akan membuat laporan serta cadangan mengenai SOP atau sistem yang boleh diguna pakai untuk memantapkan kawalan sempadan negara.

Ahmad Zahid dijangka berlepas meninggalkan Kunming untuk menamatkan lawatan kerja enam hari di China petang ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda