Skip to main content
Berita TempatanSabah

Long Pasia, Long Mio Kini Nikmati Telekomunikasi Digital

By 27 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

  Oleh: Zuraidah Ahmad / Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)

 

SIPITANG, 27 Jan (Malaysiaktif) – Hasrat kerajaan merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar dilihat semakin menjadi realiti melalui pembinaan menara telekomunikasi khususnya di luar bandar.

Pembinaan menara baharu di Kampung Long Pasia yang mengekalkan perkongsian pintar antara syarikat telekomunikasi Celcom, DiGi dan Maxis membolehkan masyarakat di Kampung Long Pasia dan Long Mio menikmati kemudahan perhubungan telekomunikasi digital dengan baik.

Kemudahan ini disambut gembira masyarakat kampung terutama dalam kalangan belia dan para pelajar sekolah di kedua-dua kampung berkenaan.

pasia6 (1)

Owen Palipus

Menurut Ketua Darjah, Owen Palipus, 12, dia memiliki sebuah telefon pintar Samsung GT hadiah hari jadi tahun lalu dan hari ini hadiah ini cukup bererti kepadanya apabila dapat digunakan untuk berhubung dengan rakan-rakan dan guru bagi mendapat maklumat tentang kerja sekolah.

“Telefon pintar ini ialah hadiah daripada ibu bapa saya setelah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun lalu. Saya menggunakan talian prabayar Digi untuk melayari Internet dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah selain berkomunikasi dengan rakan-rakan serta keluarga dan saudara-mara di luar daerah,” jelasnya.

pasia5

Elizabeth

Bagi pelajar tahun empat di SK Long Pasia, Elizabeth Basar, 8, yang tinggal di Kampung Long Mio menjelaskan dia sering menggunakan telefon pintar milik ibunya untuk mengikuti perkembangan dunia seni dalam Youtube dan berhubung dengan rakan-rakan serta guru melalui aplikasi whatsapp.

“Saya ialah salah seorang daripada ahli Kelab Kebudayaan dan kami membuat latihan tarian pada waktu petang. Jadi saya sering menghantar pesanan menggunakan whatsapp untuk berhubung dengan rakan dan guru,” ceritanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari berkata terdapat 10 menara telekomunikasi akan didirikan di kawasan Parlimen Sipitang, masing-masing dua telah dibina di Sindumin, tiga di Lumadan sementara lima lagi akan dibina di Sindumin.

“Kos keseluruhan pembinaan menara telekomunikasi ini hampir RM20 juta bergantung kepada jarak dan cara penyediaan menara tersebut. Inilah hasrat kerajaan memberi kemudahan kepada rakyat.

“Untuk memasuki ke Long Pasia, dengan jarak 115 kilometer selama tiga hingga empat jam tempoh perjalanan terdapat tujuh buah menara di sepanjang laluan tersebut dan setiap menara mempunyai kapasiti capaian seluas tiga kilometer persegi.

Tambahnya, kemudahan ini pastinya dapat mewujudkan peluang promosi produk pelancongan dan hasil pertanian di sini kepada masyarakat luar.

Andrew menerima sijil penghargaan sebagai Posmen Komuniti yang disampaikan oleh Jailani (tiga dari kiri).

Andrew menerima sijil penghargaan sebagai Posmen Komuniti yang disampaikan oleh Jailani.

Justeru, Jailani dalam ucapannya menyarankan penduduk yang berjumlah hampir 1,000 orang itu kekal menetap di kampung berkenaan dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan kerajaan.

Jailani berkata demikian pada Majlis Perasmian Menara Telekomunikasi (TIME 3) dan pemberian nombor premis Kampung Long Pasia dan Long Mio Daerah Sipitang di bawah Projek Alamat Untuk Semua (AFA) di kampung Long Pasia pada Isnin.

Pada majlis tersebut, Jailani turut melancarkan pemberian nombor premis kepada 150 rumah termasuk 114 rumah di kampung Long Pasia dan 41 di kampung Long Mio bagi memudahkan pengumpulan data-data peribadi masyarakat sekiranya berlaku bencana dan sebagainya.

Di samping itu, Kementerian berkenaan turut melantik anak jati kampung terbabit, Andrew Laban sebagai Posmen Komuniti dalam memberi khidmat pos kepada masyarakat di kedua buah kampung berkenaan.

Dalam pada itu,  Ketua kampung Long Pasia, Mudia Sia, 64, berharap agar para pengusaha industri inap desa di kampung berkenaan dapat manfaatkan hasil pembangunan jalur lebar dan perkhidmatan pos ini bagi mempromosi tempat menarik di kampung tersebut.

“Salah sebuah “homestay” yang menjadi tumpuan para pelancong di kampung tersebut ialah sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah liat iaitu Rumah Tanah Sia, menggunakan khidmat jurutera Korea dan dibina penduduk kampung secara gotong-royong,” ujarnya.

Manakala bagi belia, Mary Jane Joseph, 30, berharap kemudahan pos dan telekomunikasi di kampungnya itu akan dapat menjana pendapatan menerusi perniagaan dalam talian terutama promosi produk kraftangan. Dia membayangkan aksesori masyarakat Lundayeh akan pasti menembusi pasaran antarabangsa suatu hari nanti.

-SF

 

Tinggalkan komen anda